90 peratus premis perniagaan di Pahang akur guna tulisan Jawi

0
139
Gambar Bernama.

KUANTAN –  Kira-kira 90 peratus premis perniagaan di Pahang mematuhi arahan penggunaan tulisan Jawi pada papan tanda premis masing-masing sejak dikuatkuasakan pada 1 Januari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang Abd Rahim Muda berkata, berdasarkan pemerhatian pihak berkuasa tempatan, kebanyakan premis mengambil inisiatif menukar papan tanda baharu atau menampal pelekat bertulisan Jawi di atas papan tanda sedia ada. 

“Namun begitu, masih ada premis perniagaan yang tulisan Jawi di papan tanda mereka bersaiz lebih kecil daripada tulisan Rumi iaitu tidak mematuhi syarat ditetapkan dan mereka ini diberikan masa untuk membetulkan perkara itu,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Abd Rahim berkata, premis perniagaan yang tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan denda antara RM250 dan RM500 selain boleh dikenakan tindakan pembatalan lesen perniagaan.

Mengenai tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Tras Chow Yu Hui  memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi di sini baru-baru ini bagi mencabar arahan kerajaan negeri itu, Abd Rahim berkata perkara tersebut mungkin berlaku kerana ada pihak menganggap peraturan berkenaan berkaitan kaum dan proses Islamisasi terhadap kaum lain.

“Sebenarnya, ia (arahan) bukan begitu. Jika dirujuk Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967, ada dinyatakan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan tulisannnya ialah tulisan Rumi dan Jawi. Jadi arahan ini sepatutnya tiada masalah untuk dipatuhi,” katanya. 

Kerajaan negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi selari dengan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada November 2018 supaya tulisan tersebut diperkasakan dan dibudayakan di negeri itu. 

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri memberikan tempoh setahun pada 2019 untuk pemilik premis membuat persiapa sebelum mewajibkan pelaksanaannya bermula 1 Januari tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here