ATM patahkan cubaan PATI menyusup keluar dari negara

0
200

CYBERJAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya mematahkan cubaan sekumpulan pendatang tanpa izin (PATI) untuk menyusup keluar dari negara, pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), dalam satu kenyataan hari ini berkata, cubaan tersebut dikesan oleh anggota Kompeni Alpha 1 RRD yang berada di pos kawalan.

“Anggota yang bertugas telah mengesan dan melihat isyarat kerlipan lampu sebanyak dua kali dari arah bot ke pantai.

“Selang beberapa minit kelihatan kelibat pergerakan orang keluar dari arah hutan menuju ke bot yang berada 100m dari pantai di Ladang Sungai Tengah, Bandar Penawar, Johor,” kata kenyataan itu.

Susulan pengesanan tersebut, Ketua Kompeni, Mejar Mohd. Hafizullah Mohd. Rashidi bertindak menghantar Tim Quick Reaction Force (QRF) ke Kampung Gambut, Punggai dan berjaya menahan kesemua tujuh PATI tersebut.

Kesemua PATI yang ditahan berusia di antara 20 hingga 53 tahun, terdiri lima lelaki dan dua wanita yang mana salah seorang daripadanya sedang sarat hamil dengan usia kandungan tujuh bulan.

Selain daripada itu, pihak ATM turut merampas 15 buah telefon pintar pelbagai jenama dan wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM15,512.50.

Kesemua PATI yang ditahan diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here