Bersatu mahu ambil tindakan undang-undang terhadap Bersatu Blackout

0
279

Hamzah Zainudin

CYBERJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil tindakan perundangan dan tatatertib yang tegas terhadap pihak yang menyalahgunakan logo parti itu.

Menurut Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan pertuduhan jenayah terhadap mana-mana individu yang menyalahgunakan logo Bersatu termasuk logo “Bersatu Blackout”.

“Penyalahgunaan logo Bersatu adalah satu kesalahan jenayah mengikut Seksen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 3 bulan atau denda tidak melebihi RM3,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, sekumpulan bekas ahli Parlimen Bersatu yang diketuai bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad menggunakan logo Bersatu Blackout sebagai protes terhadap pemecatan mereka.

Mereka yang lain turut dipecat ialah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang jawatan terakhir selaku Timbalan Presiden Bersatu;

Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik; bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah dan bekas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya.

Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya juga menimbang untuk mengambil tindakan tegas terhadap sama ada calon parti atau ahli parti yang menyalahgunakan logo Bersatu ketika bertanding dalam pilihan raya.

Katanya, tindakan yang akan diambil termasuk membatalkan pencalonan dan/atau mengambil tindakan disiplin termasuk memecat keahlian mereka yang terlibat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here