Covid-19: Filipina di ambang kekalahan

0
709

MANILA – Beberapa persatuan doktor di Filipina memberi amaran bahawa negara berkenaan sedang berdepan kekalahan menentang Covid-19 dan menggesa Presiden, Rodrigo Duterte mengetatkan perintah berkurung yang dilonggarkan baru-baru ini.

Ini kerana jumlah kes baharu terus meningkat dan hospital mula menolak kemasukan pesakit.

Sebanyak 80 persatuan perubatan mewakili puluhan ribu doktor menandatangani surat terbuka, sehari selepas negara mencatatkan rekod harian tertinggi iaitu lebih 4,000 jangkitan baharu, menjadikan keseluruhan 93,000 kes.

“Pekerja penjagaan kesihatan bersatu dalam memberi isyarat bahaya kepada negara di mana sistem penjagaan kesihatan kita menerima terlalu banyak kes.

“Kita sedang berdepan kekalahan dalam perang menentang Covid-19 dan kita perlu menyusun pelan tindakan yang berkesan,” kata surat itu yang dilaporkan AFP.

Semakin banyak pekerja kesihatan jatuh sakit dan ada yang meletakkan jawatan, manakala terdapat hospital yang terlalu sesak mula menolak kemasukan pesakit baharu.

Kerajaan menyalahkan ketidak patuhan terhadap protokol kesihatan yang menjadi punca peningkatan ketara kes jangkitan baharu.

Pada pertengahan Mac lalu, Filipina adalah antara negara yang melaksanakan perintah berkurung paling ketat, yang memaksa semua penduduk berada di rumah kecuali untuk tujuan membeli makanan dan rawatan kesihatan.

Namun, baru-baru ini, kerajaan Duterte melonggarkan sekatan berkenaan bagi membolehkan orang ramai kembali bekerja selepas munculnya jangkaan bahawa ekonomi Filipina bakal berdepan kemelesetan.

Ketika ini, jutaan penduduk hilang pekerjaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here