Gagal patuhi perintah kuarantin di rumah, 6 diambil tindakan

0
99
ISMAIL SABRI

CYBERJAYA – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan terhadap 6 individu kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin wajib di rumah selama 14 hari, sejak 27 Julai lalu.

Menteri Kanan (Pertahanan), Datuk Seri Ismail Sabri dalam satu kenyataan hari ini berkata, pelanggaran tersebut didapati berlaku sewaktu pemeriksaan yang dilakukan oleh PDRM bersama Kementerian Kesihatan (KKM).

“Semalam, PDRM telah melakukan 2,271 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalankan kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing (home quarantine).

“PDRM bersama petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan sentiasa membuat pemeriksaan dan pemantauan terhadap individu-individu tebabit bagi memastikan SOP dipatuhi,” kata kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, seramai 134 individu lain telah turut ditahan semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Daripada jumlah itu, seramai 19 individu telah direman manakala 22 individu dijamin. 93 individu pula dikenakan kompaun.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang dikenal pasti termasuk aktiviti pusat urut tanpa lesen (12), aktiviti yang tidak mengikuti SOP (33), aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial (88), dan melangar perintah pengawasan/Home Surveillance Order (1).

Sementara itu, sejak 24 Julai hingga semalam, seramai 3,384 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Kesemua mereka yang pulang ditempatkan di 14 buah hotel dan lima
Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor dan Johor.

Daripada jumlah itu, seramai 13 individu telah dihantar ke
hospital untuk rawatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here