Kes baharu Covid-19 di Pulau Pinang dan Perlis berkait dengan kluster Sivagangga

0
181
NOOR HISHAM

CYBERJAYA – Sebanyak 1,884 kontak rapat kepada kes positif di Perlis dan Pulau Pinang yang diumumkan hari ini telah dikenal pasti dan perlu menjalani saringan Covid-19.

Demikian kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan.

“Seramai 1,884 kontak rapat telah dikenal pasti dan bakal disampel di Perlis dan Pulau Pinang susulan kes positif yang diumumkan hari ini,” kata Noor Hisham.

Beliau turut menambah, kes positif baharu yang diumumkan di dua buah negeri tersebut mempunyai kaitan rapat dengan kluster Sivagangga di Kedah.

Perlis hari ini melaporkan 10 kes positif baharu yang melibatkan satu keluarga.

“Kesemua mereka adalah kontak rapat kepada kes 9002 yang dilaporkan pada 4 Ogos lalu, kata Noor Hisham.

“Siasatan mendapati, salah satu ahli keluarga tersebut (kes 9,054) merupakan pelanggan tetap gerai makan di Kedah yang menjadi lokasi punca penularan ini.

“Ini menjadikan kesemua 11 kes daripada Perlis ini adalah daripada Kluster Sivagangga,” kata Noor Hisham.

Bagi kes di Pulau Pinang pula, Noor Hisham berkata, melibatkan seorang individu yang disaring kerana pulang ke kampung halamannya yang merupakan salah satu kawasan yang kini di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO).

Setakat ini, kluster Sivagangga telah menyumbang 43 kes meliputi tiga negeri – Kedah (31), Perlis (11) dan Pulau Pinang (1).

“Seramai 3,246 individu telah disaring setakat ini, dan kita mendapati 43 daripadanya positif, manakala 2,320 lagi menghasilkan keputusan negatif.

“Dalam pada itu, sebanyak 883 saringan masih menunggu keputusan,” kata Noor Hisham.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here