Kes Covid-19 kembali kepada satu angka

0
74
Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Kes positif Covid-19 dalam negara kembali mencatat bilangan satu angka dengan sembilan kes dilaporkan pada hari ini membabitkan lima kes import dan empat penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan itu menjadikan jumlah kes positif wabak itu sebanyak 9,103 kes dengan jumlah kes aktif dan kebolehjangkitan adalah 169.

“Daripada sembilan kes baharu dilaporkan, lima adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara.

“Lima kes import tersebut adalah masing-masing satu kes dari Jepun, India, Pakistan, New Zealand dan Singapura,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empat kes penularan dalam negara pula adalah dalam kalangan bukan warganegara melibatkan tiga kes saringan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebelum dihantar pulang ke negara asal dan satu kes saringan rujukan ke Hospital Queen Elizabeth, Sabah.

Dr. Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kes penularan dalam negara yang membabitkan warganegara tempatan dilaporkan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sehingga kini, terdapat dua kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 125 kes,” katanya.

Dr Noor Hisham juga berkata terdapat enam kes telah pulih yang menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,809 atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengulas perkembangan kluster Pesakit Bawah Siasatan (PUI) Sivagangga dan kluster Kurau, Dr. Noor Hisham berkata tiada kes baharu dilaporkan hari ini menjadikan kes positif Covid-19 bagi kedua-dua kluster masing-masing kekal sebanyak 45 dan lima kes.

Ia membabitkan saringan ke atas 5,645 individu dalam Kluster PUI Sivagangga dan 180 lagi dari Perak dan Pulau Pinang bagi kluster Kurau.

Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan bagi kedua-dua kluster, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here