Kluster Sivagangga: Batalkan PR, haramkan masuk negara seperti dibuat Singapura

0
1126

Gambar hiasan

BEBERAPA hari lalu, Vietnam yang sebelum ini berjaya mengawal penularan Covid-19 dalam negara mencatatkan satu kes kematian akibat wabak penyakit itu.

Lebih membimbangkan apabila 45 kes baharu muncul di sebuah lokasi percutian terkenal di Da Nang berhampiran Hoi An dan sehingga kini puncanya masih belum dapat dikenal pasti.

Di Filipina pula situasi penularan wabak Covid-19 semakin menggila sehinggakan beberapa persatuan doktor di negara itu memberi amaran bahawa Filipina sedang berdepan kekalahan dalam peperangan menentang Covid-19.

Sehingga kini jumlah kumulatif jangkitan di negara itu telah mencecah lebih 112,000 kes manakala angka kematian melebihi 2,000 kes.

Turut mencatatkan angka membimbangkan ialah Indonesia yang kini kes positif Covid-19 melebihi 115,000 kes manakala angka kematian mencecah 5,388 kes.

Berbeza dengan di Malaysia, situasi penularan wabak penyakit itu masih terkawal dan jumlah kumulatif yang positif masih di bawah angka 10,000 kes.

Namun begitu, sejak beberapa hari lalu, rakyat seluruh negara terutamanya di Kedah kembali bimbang selepas kes Covid-19 kembali menyerang negeri di sebelah Semenanjung itu.

Gara-gara seorang taukeh kedai nasi kandar di pekan Napoh yang baru pulang dari Sivagangga, India tidak menjalani kuarantin wajib di rumah, habis seluruh negara berada dalam kebimbangan apabila dia disahkan positif Covid-19.

Lebih membangkitkan kemarahan orang ramai, apabila kes jangkitan itu sudah mula merebak kepada tiga generasi dengan pantasnya.

Sehingga kini sebanyak 313 orang telah disaring dan daripada jumlah ini, 20 kes dikesan positif, 280 negatif dan 13 kes lagi sedang berdebar menunggu keputusan ujian.

Meskipun, hari ini tiada sebarang kes positif melibatkan kluster ini dan hanya satu kes dilaporkan positif iaitu di Perlis, kebimbangan orang ramai masih belum hilang sepenuhnya kerana masih ramai yang belum tampil menjalani ujian tersebut terutamanya di kawasan sekitar.

Jika dilihat pada komen warga maya, masing-masing tidak dapat menahan marah disebabkan ‘nila setitik ini, habis merosakkan susu sebelanga’.

Masing-masing mencadangkan hukuman berat dikenakan termasuk menarik balik pas permastautin tetap (PR) milik lelaki ini dan mereka yang melanggar perintah menjalani kuarantin tetap di rumah.

Kerajaan seharusnya mengambil tindakan tegas seperti ini yang telah dilaksanakan oleh negara jiran, Singapura sejak Februari lalu.

Tanpa sebarang kompromi, pihak berkuasa Singapura bukan sahaja menarik balik status PR malah mengharamkan terus mereka yang melanggar arahan ini dari memasuki negaranya.

Tangkap layar berita bertarikh 26 Februari lalu apabila seorang lelaki dibatalkan status PR dan dilarang masuk ke Singapura disebabkan melanggar notis duduk di rumah

Status ‘kayangan’ yang dipegang oleh mereka yang baru pulang dari luar negara tidak seharusnya membuat pihak berkuasa gentar.

Sekiranya dengan rakyat tempatan pihak berkuasa boleh bertindak tegas seperti mengenakan kompaun sebanyak RM1,000 kepada yang tidak memakai topeng muka dan sebagainya. Jadi apalah sangat untuk menghukum golongan kayangan yang ingkar arahan ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here