Letupan Beirut: ATM siap sedia lancar operasi HADR sekiranya diperlukan

0
317
AFENDI BUANG

CYBERJAYA – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersiap sedia dan bersemangat tinggi sekiranya diperlukan memberi bantuan di Lebanon.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dalam satu kenyataan hari ini berkata, pasukan pengaman ATM (MALBATT 850-7) yang menyertai misi United Interim Force in Lebanon (UNIFIL) sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR) sekiranya diperlukan.

“Pada masa kini, pasukan pengaman berkenaan masih meneruskan rutin operasi di bawah Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB malah sentiasa komited dan siapsiaga terhadap pelaksanaan tugas serta tanggungjawab dalam membantu memelihara keamanan di negara tersebut.

“Kesemua anggota juga berada dalam keadaan selamat, bersemangat tinggi dan tidak terlibat dalam insiden yang berlaku di negara berkenaan,” kata Affendi.

Buat masa ini, kata Affendi, pihak ATM sedang memantau situasi dan bersiap sedia dalam apa jua kemungkinan yang memerlukan tindakan lanjut dilaksanakan oleh pasukan MALBATT tersebut.

Semalam, Beirut digegarkan oleh satu insiden letupan dipercayai berpunca daripada para jurukimpal yang sedang bertugas di sebuah gudang penyimpanan bahan kimia.

Letupan berkekuatan 3 kiloton itu, iaitu satu perlima daripada kekuatan bom atom yang digugurkan di Hiroshima, Jepun pada Perang Dunia Kedua lalu, setakat ini telah mengorbankan 100 orang dan mencederakan 4,000 yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here