LTTE kekal kumpulan pengganas

0
124

CYBERJAYA- Malaysia masih mengklasifikasikan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai kumpulan pengganas sejak 12 November 2014.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, Kementerian Dalam Negeri mempunyai asas kukuh untuk mengekalkan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas.

Ini kerana katanya, LTTE masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap ketenteraman awam, keselamatan rakyat dan negara ini.

“Mengikut Seksyen 66B (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001, Menteri Dalam Negeri berkuasa untuk menyenaraikan individu atau kumpulan yang terbabit dalam kegiatan keganasan sebagai Entiti Yang Ditentukan.

“Penyenaraian entiti berkenaan adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini yang diterima daripada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi kawal selia atau pengawasan berkaitan.

“Saya ingin menegaskan bahawa penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut laporan Harian Metro, Ismail menjawab soalan dikemukakan William Leong Jee Keen (PH-Selayang) menyatakan bagaimana LTTE yang tidak wujud lagi sejak 2009 adalah satu ancaman keselamatan negara.

William juga mempersoalkan mengapa LTTE tidak dikeluarkan dari senarai organisasi pengganas di bawah AMLATFPUAA 2001.

Ismail menjelaskan banyak negara lain termasuk India, Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) juga masih meletakkan LTTE dalam senarai kumpulan pengganas.

“Pihak berkuasa bertanggungjawab mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran ideologi berkaitan kumpulan ini (LTTE),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here