Polis sudah mulakan tindakan terhadap premis haram di Sungai Buloh

1
5215
Sebuah kedai milik warga asing di Sungai Buloh yang didakwa melakukan aktiviti haram

CYBERJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah memulakan tindakan terhadap dakwaan seorang peniaga mengenai kewujudan premis perjudian dan kegiatan haram yang dijalankan oleh warga asing di sebuah kawasan di Sungai Buloh, Selangor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan tegas akan diambil termasuk ke atas pihak yang bersekongkol dengannya.

Pada masa sama, beliau juga memberi jaminan tindakan segera akan diambil bagi membanteras kegiatan mesin judi, penjualan rokok seludup dan aktiviti perniagaan haram warga asing di kawasan Sungai Buloh.

“Bagus ada pihak yang berani dan ikhlas mendedahkan situasi sebenar di lapangan dan kita bertindak segera ke atas semua kegiatan yang salah ini,” katanya seperti dipetik dalam laporan Berita Harian hari ini.

Semalam tular satu video oleh seorang lelaki menerusi sebuah laman di Facebook yang mendakwa terdapat premis perjudian dan aktiviti haram di sekitar kawasan perindustrian Sungai Buloh yang tidak diambil tindakan oleh pihak penguatkuasa.

Lelaki itu bertindak demikian selepas tidak berpuas hati beberapa gerai yang menjual burger pada waktu malam disita oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedangkan, beberapa kedai haram milik warga asing dan kedai perjudian dibiarkan beroperasi tanpa tindakan.

Sementara itu, menurut laporan Berita Harian lagi, difahamkan satu sidang media akan diadakan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh oleh ketua polis daerah berkenaan, hari ini.

1 COMMENT

  1. Habislah semua kakitangan dan agensi kerajaan yg terbabit bersekongkol. Salute untuk DS Abdul Hamid Bador, KPN kita.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here