SPRM tahan tiga pegawai MBSA, peniaga rokok seludup

0
365

PUTRAJAYA – Tiga pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan peniaga rokok seludup berbangsa Acheh ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam operasi pukul 9 pagi tadi.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengawai MBSA dari cawangan Sungai Buloh dan Shah Alam itu ditahan kerana dipercayai menerima dan mengutip rasuah secara bulanan sebagai imbuhan melindungi perniagaan tanpa lesen di sekitar Sungai Buloh dekat sini.

Kesemua ditahan ketika dipanggil memberi keterangan oleh SPRM di Putrajaya manakala peniaga rokok seludup berbangsa Acheh yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diserahkan kepada pihak Imigresen untuk tindakan lanjut.

Menurut sumber SPRM itu, peniaga yang telah beroperasi sejak setahun lalu itu dikatakan telah membayar wang rasuah sebanyak RM3,000 sebulan kepada penguatkuasa untuk mengelak tindakan penguatkuasaan.

Tangkapan itu adalah susulan kepada pendedahan klip video oleh seorang peniaga burger yang dikenali sebagai Asri Janggut yang mendakwa pihak berkuasa gagal menguatkuasakan undang-undang terhadap pemilik kedai judi dan peniaga rokok seludup di Sungai Buloh.

Dalam video yang tular di Facebook itu, Asri juga mendakwa wujudnya penyelewengan dan aktiviti rasuah melibatkan pengusaha premis perniagaan dengan pihak berkuasa.

Menurut kenyataan itu lagi, pegawai penguatkuasa tersebut dipercayai menerima rasuah antara RM300 hingga RM3,500 sebulan bagi sesebuah premis perniagaan seperti kedai judi, kedai makan, kedai rokok dan gerai-gerai yang menjalankan perniagaan di tempat tidak dibenarkan.

Sementara itu, Utusan Malaysia melaporkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan dilakukan pihaknya dan tidak menolak wujudnya sindiket rasuah dalam pihak berkuasa berkenaan.

Katanya, siasatan dijalankan dibawah seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. Kesemua yang ditahan akan dihadapkan ke Mahkamah bagi permohonan reman dibawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Sehubungan itu beliau menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti rasuah dalam kalangan penguatkuasa tampil membuat aduan dengan jaminan identiti pengadu dirahsiakan sepenuhnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here