TEMCO dilaksana di Kampung Kuala Sanglang, Kampung Tanah Timbul malam ini

0
123
Klinik Kesihatan Kuala Sanglang menjadi tumpuan penduduk sekitar selepas wabak Covid-19 melanda kawasan tersebut sejak kelmarin

CYBERJAYA – Berkuatkuasa malam ini, seluruh kawasan di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul akan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) selama 28 hari.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, pelaksanaan tersebut yang akan berakhir pada 4 September dibuat selepas mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan dengan mengambil kira bilangan kes aktif Covid-19 di kawasan terbabit.

“Pengisytiharan ini dibuat bagi membolehkan aktiviti pengesanan yang telah dimulakan oleh Jabatan Kesihatan negeri sejak 7 Ogos lalu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan di kedua-dua kampung terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, beliau meminta semua penduduk di kawasan berkenaan dapat memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa kerana pelaksanaan TEMCO akan mengguna pakai Prosedur Operasi Standart (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sedia ada dengan tambahan kepada pelaksanaan sekatan jalan raya di setiap laluan keluar masuk ke kawasan terbabit.

“Orang awam yang berada di luar kawasan TEMCO tidak dibenarkan masuk kecuali mereka yang terlibat dengan memberikan perkhidmatan perlu,” katanya.

Sementara itu Azlan turut meminta, penduduk di dua kawasan tersebut supaya mematuhi arahan kuarantin di rumah setelah menjalani ujian saringan Covid-19 di Klinik Kesihatan Sanglang.

Katanya, sepanjang tempoh kuarantin itu, hanya ketua isi rumah sahaja yang dibenarkan untuk keluar dari kediaman masing-masing bagi membeli barangan keperluan harian sementara menunggu seluruh ahli isi rumah memperolehi arahan pelepasan dari Jabatan Kesihatan negeri.

“Arahan pelepasan akan dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri selepas keputusan ujian saringan Covid-19 didapati negatif.

“Keputusan ujian saringan dijangka diperolehi tidak melebihi empat hari daripada tarikh ujian saringan dilaksanakan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here