Terima kasih Asri Janggut, tetapi…

0
1963

Mohd. Asri yang membuat kemunculan secara eksklusif bersama Malakat Tribune kelmarin

KERANA nila setitik habis susu sebelanga. Kalau minggu lepas kecoh mengenai seorang tauke nasi kandar di Napoh yang menjadi punca kepada kluster Sivagangga yang telah beranak pinak sehingga sekarang.

Dua tiga hari ini kecoh pula mengenai penguatkuasa yang terlibat dalam melindungi kegiatan haram di Sungai Buloh selepas tersebarnya video yang dirakam oleh Mohd. Asri Hamid atau diberi gelaran sebagai Asri Janggut.

Walaupun kedua-dua kes ini berbeza tetapi impaknya kepada masyarakat dan negara sangat besar.

Disebabkan kluster Sivagangga, seluruh negara risau sekiranya virus Covid-19 menular ke negeri masing-masing.

Malah, Kedah yang menjadi lokasi kluster ini bermula turut terkena tempias apabila dijadikan bahan ejekan gara-gara kluster Sivagangga.

Berbanding virus Covid-19 yang dibawa oleh kluster Sivagangga, virus yang dibawa oleh penguatkuasa yang mengambil rasuah lebih berbahaya.

Kesannya sangat besar sehingga boleh memusnahkan negara. Apabila muncul seorang lelaki yang digelar sebagai Asri Janggut membongkarkan mengenai kegiatan haram ini, reaksi orang ramai betul-betul berbeza.

Kemarahan orang ramai sudah tidak boleh dibendung lagi. Aktiviti haram seperti perjudian dan kedai yang diusahakan oleh warga asing bersepah-sepah di banyak kawasan. Kegiatan ini sudah menjadi seperti rahsia terbuka.

Tiada siapa yang berani menegur atau menutup kedai seperti ini. Semua seakan-akan terpaksa menerima aktiviti haram ini, jika bersuara maka bersedialah menerima ugutan seperti yang diterima oleh Asri Janggut sebelum ini.

Namun begitu, pendedahan yang dibuat Asri Janggut tetap ada harganya, kesan daripada pendedahan ini semua peniaga jalanan turut terkena tempias.

Kini muncul suara-suara yang tidak berpuas hati apabila perniagaan mereka turut terjejas. Kepada pihak penguatkuasa diharapkan dapat menangani masalah peniaga jalanan ini ketika negara masih belum pulih daripada kesan ekonomi akibat Covid-19.

Ketika ini ramai yang kehilangan pekerjaan terpaksa berniaga secara kecil-kecilan di bahu jalan. Diharapkan wakil majlis daerah atau wakil rakyat di kawasan berkenaan dapat meluangkan masa membantu peniaga kecil ini mendapatkan tapak segera untuk berniaga.

Yang mahu dihapuskan ialah aktiviti perjudian haram yang memberi kesan besar kepada masyarakat dan negara, bukan perniagaan kecil-kecilan bagi mendapatkan sedikit rezeki halal.

Semoga isu ini dapat diberi perhatian segera kerana sehari tanpa pendapatan bermaksud akan ada yang kelaparan di rumah.

Kepada pihak berkenaan, cepatlah bertindak jangan timbul masalah lain pula selepas ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here