28 mukim di Kota Setar dikenakan PKPD, feri dari jeti Kuala Kedah turut tidak dibenarkan beroperasi

0
210
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob


CYBERJAYA – Sebanyak 28 mukim di daerah Kota Setar, Kedah akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bermula pukul 12.01 tengah malam hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu yang akan dilaksanakan sehingga 25 September ini turut melibatkan kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Mengambil kira kenaikan kes melibatkan kluster Sungai dan Tawar di Kota Setar, mesyuarat khas pada hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPD secara pentadbiran di daerah Kota Setar.

“Ini juga selaras dengan cadangan dibuat Menteri Besar Kedah. PKPD ini akan berkuat kuasa pukul 12.01 tengah malam ini dan akan melibatkan 366,787 penduduk di 28 mukim di daerah ini,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut katanya, seperti PKPD lain, prosedur operasi standard (SOP) untuk keluar masuk dalam daerah tersebut adalah dilarang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan sekatan jalan raya.

Pada masa sama, katanya, kemasukan melalui pintu masuk antarabangsa di Bukit Kayu Hitam juga dihentikan sehingga tamat PKPD.

Tambahnya, semua masjid, institusi pendidikan sama ada rendah atau tinggi, aktiviti sukan, sosial dan budaya turut tidak dibenarkan beroperasi.

Katanya, feri dari jeti Kuala Kedah juga tidak dibenar beroperasi sepanjang PKPD Pentadbiran ini dikuatkuasa.

“Individu yang perlu keluar masuk untuk bekerja juga tidak dibenarkan di kawasan PKPD ini, saya harap majikan perlu ambil maklum mengenai perintah ini, ini bukan atas kehendak mereka tapi oleh kerajaan yang tak benarkan mereka bekerja.

“Saya harap tiada tindakan diambil dan saya galakan majikan minta pekerja mereka bekerja dari rumah,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here