Anwar dakwa dapat majoriti bentuk kerajaan baharu

0
303
Datuk Seri Anwar Ibrahim


CYBERJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau sudah mendapat majoriti kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu.


Presiden PKR itu berkata, majoriti yang menyokong beliau ialah Ahli Parlimen Melayu dan Islam namun, tidak menyatakan jumlahnya.


“Alhamdulillah kini saya telah mendapat sokongan yang kukuh dan menyakinkan daripada Ahli Ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong. 


“Ingin saya nyatakan di sini majoriti yang menyokong saya ialah Ahli Parlimen Melayu dan Islam,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.


Menurut Anwar, beliau sebenarnya telah diperkenankan untuk mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong semalam pada pukul 11 pagi.


Bagaimanapun katanya, sembah mengadap itu terpaksa ditangguhkan kerana Baginda kini menerima rawatan di Institut Jantung Negara.


“Kendati begitu, melalui perbualan telefon malam Selasa lalu saya telah mendoakan aa’fiah buat Kebawah Duli Tuanku.


“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan bermakna kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh. 


“Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas mengadap Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam masa yang terdekat, Insha-Allah,” katanya.


Dalam pada itu kataya, pentadbirannya pasti mewakili semua rakyat, dengan majoriti Melayu-Bumiputra dan perwakilan saksama semua kaum di negara ini. 


“Kami tetap menjunjung prinsip-prinsip perlembagaan yang mengiktirafkan kedudukan Islam, kedaulatan Raja-raja Melayu, memartabatkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa rasmi serta kedudukan istimewa Melayu-Bumiputra disamping jaminan tegas mempertahankan hak warga pelbagai kaum lain. 

 “Akhir sekali, saya memohon seluruh rakyat supaya bersabar dan mendoakan kesembuhan segera Tuanku Yang di-Pertuan Agong. 


“Saya berjanji akan membentuk sebuah kerajaan dengan tatakelola berintegriti dan komited untuk menangani krisis yang melanda negara; menghentikan amalan rasuah dan membela nasib rakyat.


“ InshaaAllah saya akan tunaikan janji saya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang makmur, aman dan adil untuk untuk seluruh rakyatnya-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here