Awas ketika berbelanja di Internet

0
46

ZAMAN sekarang semuanya di hujung jari. Bayar bil, pindah duit sehinggalah urusan membeli barang-barang keperluan harian.

Kebergantungan dan kepercayaan kita terhadap online shopping sudah jauh berubah berbanding pada awal pengenalannya dahulu.

Namun dalam kebiasaan dan keghairahan kita berbelanja dalam talian, ramai masih kurang peka dan mengabaikan soal keselamatan wang.

Nampak sahaja produk yang menarik dalam Facebook, Instagram atau WhatApps, jari-jemari terus laju membuat pemindahan wang sehingga lupa memastikan keaslian si penjual.

Sedangkan transaksi online yang tidak lagi memerlukan penjual dan pembeli bertentang muka atau melihat produk secara nyata membuka banyak peluang penipuan.

Selain kes-kes penjual palsu yang memenuhi platform jualan kegemaran rakyat negara ini, trend penipuan sekarang beralih kepada scam penjualan melalui laman web yang dibina khusus dengan penampilan profesional yang seolah-olah ia adalah laman web jualan yang ‘real’.

Sekali imbas, ia tidak ubah seperti syarikat pengeluar barangan yang sah dan tanpa menyelidik secara lebih terperinci, sesiapa sahaja boleh terjerat.

Helah pengendali laman scam ini biasanya menggunakan Facebook sebagai ‘proksi’ untuk menarik mangsa ke laman web mereka untuk memilih produk dan akhirnya membuat pembayaran.

Modus operandi selalunya menggunakan produk yang tidak terlalu mahal atau produk alternatif kepada produk original pada harga jauh lebih murah.

Misalnya sebuah kamera aksi yang dikatakan setanding dengan GoPro dijual pada harga jauh lebih murah dengan dakwaan ia adalah unit OEM atau diperolehi melalui ‘jalan belakang’.

Bagaimanapun dengan sedikit sikap waspada, pengguna tidak mudah termasuk jerat online seperti ini kerana ada beberapa klu yang mudah untuk mengenal pasti keaslian penjual.

Satu daripadanya adalah dengan memastikan laman web jualan itu mempunyai sistem jaminan pembelian seperti ditawarkan oleh Shopee dan Lazada misalnya.

Dalam kes ini, jaminan yang ditawarkan itu bukan sekadar melindungi pelanggan jika barang yang dibeli rosak atau tidak sampai tetapi apa yang lebih penting adalah untuk membuktikan komitmen penjual atau sebagai tanda mereka benar-benar wujud.

Kebanyakan laman web scam sekadar memaparkan pilihan produk dengan kaedah pembayaran tetapi tidak menawarkan jaminan pembelian.

Selain itu, ia juga boleh dikenal pasti melalui kaedah memancing mangsa yang aktif dilakukan di Facebook. Pengendali laman web seperti ini biasanya menjawab komen pelayar dengan mesej-mesej yang dijana secara automatik.

Mereka juga sering mengelak apabila ditanya sama ada mempunyai kedai fizikal, jaminan produk, menyediakan Cash On Deliver (COD) dan sebagainya.

Dalam setiap hantaran iklan mereka, pengguna juga akan diperdaya dengan komen-komen positif oleh cybertrooper yang diupah untuk menambah keyakinan pelanggan.

Namun, respon rakyat negara ini terhadap kes-kes penipuan transaksi Internet masih terlalu rendah kerana ramai yang tidak begitu ‘terkesan’ dengan nilai wang ringgit yang ditipu.

Bagi mangsa, nilai RM50 atau RM100 yang lenyap mungkin terlalu rendah untuk disusuli dengan urusan membuat aduan dan laporan kepada pihak berkuasa.

Sikap lepas tangan seperti inilah yang akhirnya menguntungkan kumpulan scammer dan terus berleluasa tanpa sebarang tindakan oleh pihak berkuasa.

Sedangkan aduan boleh dibuat secara online di laman agensi-agensi seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNKK), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (CCID) dan SKMM.

Selain itu, laman-lama seperti ccid.rmp.gov.my/semakmule; SCAM.MY dan Tipu.my juga membolehkan pengguna memeriksa butiran seperti nama, nombor telefon dan akaun bank yang mungkin dapat mengelak diri daripada menjadi mangsa penipuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here