BMF bukanlah kempen tapi tuntutan

0
81

MESKIPUN sudah beberapa tahun ‘kempen’ Buy Muslim First atau BMF digerakkan, masih ramai umat Islam yang tidak dapat memahami kepentingan dan manfaatnya.

Pelbagai hujah seperti harga terlalu mahal, produk tidak berkualiti dan bermacam-macam lagi dijadikan alasan untuk membenarkan pendirian untuk tidak menyokong.

Lebih menyedihkan ada yang terlalu ego untuk bersama-sama berjuang. Seolah-olah terlalu berat untuk mereka menerima hakikat usahawan sebangsa dan seagama mereka mampu berdiri setanding dengan usahawan bukan Islam.

Ada juga yang secara mentah menolak BMF, kononnya tidak mahu terlibat dalam kempen yang mendiskriminasi kaum dan agama, walhal mereka daripada awal lagi sudah meletakkan ‘tembok’ dalam pemikiran mereka.

Tiada ruang untuk mereka berfikir secara positif atau mempertimbang dengan rational di mana kepentingan dan mengapa seluruh umat Islam kini bercakap mengenai BMF.

Bahkan ada yang mengaitkan BMF sebagai pencetus Islamofobia dalam masyarakat sedangkan ketakutan mereka langsung tidak berasas.

Golongan ini mungkin terkhilaf pada tafsiran ‘kempen’ yang pada pendapat penulis tidak lagi sesuai digunakan (untuk membantu) sesetengah kelompok yang masih begitu sukar memahami apa itu BMF.

BMF tidak seharusnya difahami sebagai kempen, sebalik perlu diterima sebagai tuntutan agama. Ia bukan sesuatu yang wajib tapi digalakkan demi mengukuhkan ekonomi umat Islam.

Dan jika diperhalusi, tidak ada apa yang salah pada BMF untuk kita menolaknya kerana kita tidak mempromosikan boikot pada barang keluaran bukan Islam. Cuma mengutamakan produk keluaran usahawan Islam.

Dan sekiranya kaum bukan Islam melakukan perkara yang sama, kita juga tidak mempunyai alasan untuk membangkang pilihan mereka.

Hakikatnya, pelaksanaan BMF adalah pilihan untuk kita umat Islam. Sejauh mana kita mampu melaksanakannya, terpulang pada daya yang ada pada setiap individu.

Dalam menyahut seruan itu, setiap daripada kita sudah tentu mempunyai komitmen yang berbeza. Ada yang berbelanja (secara BMF) setiap hari, ada yang setiap minggu dan ada yang mungkin beberapa bulan sekali.

Dengan bercambahnya pasaraya dan kedai serbaneka yang memasarkan produk BMF. Pilihan untuk bersama-sama berjuang memperkasakan ekonomi ummah kini terletak pada diri sendiri.

BMF bukan bermaksud kita tidak lagi menjejakkan kaki ke pusat beli belah dan kedai serbaneka milik bukan Islam tetapi seruan berbelanja itu diperhaluskan dengan memilih barangan apa yang dibeli.

Jika dahulu kita berbelanja pada sosej halal keluaran bukan Islam, bukankah lebih baik untuk kita bertukar kepada produk halal keluaran usahawan Islam.

Bagi yang belum menjejakkan kaki ke pasaraya dan kedai serbaneka BMF pula, luangkan masa untuk melihat betapa banyak produk-produk keluaran usahawan Islam yang tidak dijual di pasaraya-pasaraya utama. Tidak salah untuk sesekali bertukar selera.

Pada masa yang sama, pembelian kita itu dapat membantu golongan peniaga mengembangkan perniagaan mereka sekaligus menambah kutipan zakat yang kembali kepada umat Islam sendiri.

Cuma bagi penulis, jika kita tidak memilih untuk menyokong BMF atas apa sebab sekalipun, janganlah sesekali kita ‘membunuh’ usaha BMF yang semakin memberikan impak dalam komuniti perniagaan Islam ketika ini.

Jika tidak mampu menyumbang, cukuplah sekadar memberi sokongan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here