Covid-19: Sabah umpama bom jangka, bakal meletup bila-bila masa

0
174
Gambar hiasan

SETIAP hari kes jangkitan Covid-19 terus meningkat naik. Jika semalam, sebanyak 57 kes dicatatkan, hari ini jumlah kes meningkat lagi kepada 82 kes.

Paling membimbangkan apabila majoriti kes dilaporkan di Sabah iaitu tempat di mana pilihan raya negeri negeri (PRN) akan berlangsung pada Sabtu ini.

Tinggal lagi beberapa hari sebelum proses pembuangan undi, negeri di bawah bayu itu terus ‘dikunjungi’ oleh penyokong parti, pemerhati dan orang-orang kanan parti bagi memenangkan calon masing-masing.

Tiba-tiba semua seolah-olah kebal dan tidak bimbang dengan ancaman Covid-19 walhal wabak penyakit inilah yang menyebabkan seluruh negara perlu di ‘lockdown’ berbulan-bulan.

Adakah kita sudah lupa?

Hari ini juga Kementerian Kesihatan mengumumkan 3 daerah di Sabah berada dalam zon merah iaitu Tawau, Lahad Datu dan Semporna.

20 daerah lagi berada dalam zon kuning iaitu kawasan yang mencatatkan satu hingga 40 kes. Bukan sedikit kalau sudah mencecah dua digit kes.

Data jumlah kes Covid-19 di Sabah

Lagi membimbangkan apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan individu yang pulang dari Sabah tidak perlu menjalani kuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin ataupun di rumah.

Sedangkan semalam, media melaporkan terdapat seorang ahli parti daripada UMNO dikhuatiri positif Covid-19. Jika sah individu bergelar Datuk itu dijangkiti Covid-19, sudah pasti pengikut dan kontak rapat beliau juga akan terkesan.

Dan tidak dapat dibayangkan juga jika kes jangkitan ini terus tidak dapat dikawal dan merebak seperti virus ‘super spreader’.

Jika diselak-selak media sosial milik petugas kesihatan di Sabah, masing-masing sudah tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya menggeleng kepala apabila kes di Sabah terus meningkat naik.

Yang paling dibimbangi jika kes jangkitan di Sabah bakal menjadi bom jangka yang mampu meruntuhkan benteng terakhir kita iaitu petugas kesihatan yang sudah berpenat lelah sejak Mac lalu untuk mengawal wabak ini. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here