Covid-19: Sarawak perketat kemasukan, perkenal pas 5 hari kepada pengunjung

0
62
Douglas Uggah Embas

KUCHING – Sarawak memperketatkan kemasukan ke negeri itu melalui Sabah dan Labuan ekoran peningkatan mendadak kes Covid-19 di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Douglas Uggah Embas berkata, semua rakyat Sarawak, pemegang pas pemastautin tetap dan pemegang pas visa negeri itu yang tiba dari pintu masuk itu perlu menjalani ujian swab rT-PCR akan diambil semasa ketibaan di lapangan terbang dan kuarantin di rumah selama dua minggu.

Selain itu katanya, mereka juga perlu memohon kebenaran masuk dengan mengisi secara dalam talian borang ‘EnterSarawak’.

“Mereka akan dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah manakala ujian swab dibuat semasa ketibaan di lapangan terbang,” katanya memetik laporan Bernama hari ini.

Douglas yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak juga berkata, bagi mereka yang telah membuat ujian rt-PCR tiga hari sebelum memasuki Sarawak, ujian yang sama akan diambil pada hari ke 10 dengan kos ditanggung oleh kerajaan negeri.

“Bagi prosedur transit lapangan terbang sebelum meneruskan perjalanan, semua penumpang dari Sabah dan Labuan tidak dibenarkan keluar dari balai pelepasan serta arahan kuarantin HSO akan dikeluarkan di ‘First Point Of Entry’ dan perlu memakai wristband.

“Sekiranya destinasi terakhir mereka adalah di kawasan pedalaman dan jauh dari klinik kesihatan yang menyediakan kemudahan untuk mengambil sampel COVID-19, mereka akan dikuarantin di hotel atau pusat kuarantin yang telah ditetapkan,” kata Uggah.

Sementara itu, kemasukan warganegara Malaysia yang bukan rakyat Sarawak ke negeri itu perlu memohon kebenaran dengan mengisi borang ‘EnterSarawak’ secara dalam talian serta melampirkan keputusan ujian Covid-19 tiga hari sebelum perjalanan.

“Mereka juga akan diberi pas masuk yang dihadkan selama lima hari sahaja dan harus melampirkan tiket penerbangan perjalanan pulang.

“Mereka yang tidak melampirkan keputusan ujian rT-PCR Covid-19 yang sah dalam tiga hari sebelum kemasukan tidak akan diberi kelulusan masuk ke Sarawak,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here