Ikutlah Fitrah Anakmu!

0
56
Coach Fadzil bersama keluarga bahagianya

RAMAI ibu bapa begitu mengambil berat mengenai masa depan anak mereka agar berjaya dalam kehidupan. Mereka berkorban apa sahaja dengan harapan anak mereka akhirnya akan menjadi seorang yang bijaksana.

Betapa pun, keadaan dalam dua dekad yang lalu telah menyerlahkan realiti yang membimbangkan. Iya! Akademik anak-anak mereka amat cemerlang. Ramai yang setelah itu memperoleh jawatan baik dengan gaji yang tinggi. Mereka telah ‘berjaya dalam kehidupan ini.’

Anak-anak ini sepatutnya berasa bahagia kerana telah berjaya mencapai apa yang ibubapa mereka inginkan. Namun ramai di kalangan mereka mula bingung, keliru dan berasa kehilangan. Mereka alami kekosongan dan sentiasa berasa ada sesuatu yang tak kena dengan mereka.

Mereka seronok memperoleh keselesaan dan kemewahan. Namun mereka berasa ada sesuatu yang tidak lengkap dalam hidup mereka. Apa yang mereka capai itu masih tidak sempurna.

Beruntunglah mereka yang mulai sedar bahawa kejayaan dalam kehidupan ini bukannya matlamat yang hakiki. Dalam perjalanan untuk merangkul ‘kejayaan dalam hidup ini’ terdapat di kalangan mereka telah menjadi ‘Islam separuh masa.’

Malah ada di kalangan mereka menjadi ‘Islam kadang-kadang.’ Tetapi kebanyakan daripada mereka hanya Islam pada nama. Kebanyakan daripada mereka hidup sebagai seorang Islam (mereka bersaksi Allah SWT adalah Yang Esa dan Nabi Muhammad SAW adalah Rasulullah yang terakhir). Namun mereka tidak bernafas sebagai seorang mukmin yang sebenar!

Betapa pun, ini bukannya salah mereka kerana mereka telah dididik sebegitu. Mereka diajar sedari kecil bahawa kejayaan itu hanya berdasarkan kejayaan material.

Ketakwaan itu hanyalah untuk para ulama, imam dan ustaz. Mereka diajar bahawa memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan adalah tanggungjawab yang paling utama di sekolah.

Minda mereka telah diprogram untuk menerima pemikiran ini sebagai sesuatu yang ‘okey’ dan memadai. Kalau tak solat pun ‘okey.’ Kalau tak baca al-Quran pun ‘okey.’ Sehinggakan kalau tidak mengaji untuk menjadi seorang mukmin sejati pun ‘okey’ juga.

Kalau pun mereka melakukan dosa, itupun okey kerana mereka masih muda. Jika mereka menakal di kalangan lelaki dan perempuan, ia masih okey. Okey juga jika hendak pergi ‘clubbing’ dan berzina asalkan pandai makan, pandailah simpan. Selagi si gadis tidak mengandung, ia masih okey.

Ibu bapa yang kononnya moden dan bebas pun berasa okey seandainya anak gadis mereka membawa teman lelaki mereka untuk tidur di rumah. Mereka diindoktrinasi untuk percaya, asalkan mereka belajar solat, berpuasa di bulan Ramadan dan bersedekah, mereka sudah okey. ‘Kamu masih anak yang baik. Ya! Okey!’

Mereka dididik, sekiranya mereka memperoleh keputusan peperiksaan yang cemerlang dan mendapat kerja yang baik, mereka sudah pun berjaya.

Namun, anak-anak yang telah dibenarkan melakukan semua ini mula berasa ada yang tak kena meskipun mereka telah mencapai apa yang disasarkan oleh ibu bapa mereka terutamanya apabila mereka menjadi dewasa dan bekeluarga. Mereka berasa tidak sempurna. Ada sesuatu yang hampa dalam kehidupan mereka.

Apabila mereka mula mendengar kuliah daripada ulama atau mereka yang arif mengenai Islam, mereka tunduk dalam keadaan keliru dan malu. Pada setiap Ramadan, mereka mula bertanya diri mengapa mereka tidak meneruskan pembacaan al-Quran yang mereka sendiri sudah lupa cara mengajinya.

Mereka pernah mendapat ‘A’ dalam subjek Islam namun telah lupa segala yang telah mereka pelajari. Apabila ibu bapa mereka meninggal dunia, mereka terpaksa bergantung dengan orang lain untuk menguruskan jenazah ibu bapa mereka.

Walaupun mereka berhasrat untuk memandikan jenazah ibu bapa mereka, mereka tidak tahu bagaimana menguruskannya.

Kini, mereka bukan lagi anak-anak. Malah mereka sudah pun punyai anak sendiri. Kini, mereka ada peluang untuk memilih masa depan anak-anak mereka. Apakah mereka akan lakukan proses indoktrinasi fikiran yang sama sepertimana yang telah mereka lalui sebelum ini? Atau, apakah mereka akan menuruti fitrah anak-anak mereka?

Anak-anak yang lahir dianugerahkan fitrah dan keinginan mengenal ALLAH swt, yakin dengan keesaan Allah dan menjalani kehidupan menurut perintah Allah melalui petunjuk Nabi Muhammad SAW.

Saya menyarankan anda Turutilah Fitrah Anakmu dan Anda Akan Temui Fitrahmu!

Oleh: Coach Fadzil Hashim (Pengasas Brainy Bunch dan Malakat Mall)

PENAFIAN: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malakat Tribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here