Jangan sampai kita guna air sisa yang dirawat apabila semua sungai tercemar

0
50
Sungai Gong yang tercemar akibat perbuatan kilang haram yang beroperasi di Rawang

BELUM pun reda dengan isu pencerobohan hutan simpan di Raub, Pahang yang diceroboh untuk menanam durian musang king, kini seluruh negara digemparkan pula dengan 308 kilang haram beroperasi di bawah kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Yang lebih membimbangkan apabila jumlah kilang haram yang beratus-ratus jumlah ini hanya dicongak di kawasan MPS, belum lagi di seluruh Selangor.

Agak-agak berapa banyak pula kilang haram di seluruh Selangor? Bila mana nama pun sudah ‘haram’ sudah pasti aktiviti yang dijalankan tidak mengikut prosedur dan menyalahi undang-undang.

Contohnya kilang menyelenggara jentera berat di Rawang yang tidak berasa bersalah sedikit pun menjadi punca pencemaran kepada Sungai Gong.

Manakan tidak, kilang ini yang telah beroperasi secara haram selama enam tahun, pernah dikompaun oleh MPS. Malah terdapat laporan berita yang menyebut pemilik kilang berkenaan enggan membuka pintu pagar apabila ‘dikunjungi’ pegawai penguat kuasa.

Pelik, tapi lebih pelik apabila tiada tindakan tegas diambil walaupun kilang ini sudah diketahui beroperasi secara haram.

Kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini yang telah memulakan siasatan berkaitan isu ini termasuk menyiasat agensi penguat kuasa berkaitan sangat dialu-alukan.

Persoalan siapakah yang melindungi kilang-kilang haram ini sehingga menjadi besar kepala dan terlalu kebal daripada tindakan undang-undang perlu dibongkarkan.

Tiada lagi ungkapan maaf yang perlu diberikan kerana kesannya terhadap orang ramai sangat besar. Kira-kira lima juta pengguna terputus bekalan air disebabkan mereka ini.

Itu belum dikira lagi jumlah kerugian yang perlu ditanggung peniaga apabila tiada air. Sudahlah perlu berhadapan dengan ancaman Covid-19, kini terpaksa menanggung masalah ketiadaan air akibat perbuatan orang lain.

Pihak kerajaan negeri dan persekutuan perlu bersama-sama menangani isu ini secara tuntas. Kilang haram yang didirikan perlu dirobohkan tanpa sebarang rundingan lagi.

Kenyataan terkini daripada Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk berbincang dengan Menteri Kanan Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri bagi menyelaras tindakan bersama antara agensi penguatkuasa kementerian berkenaan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis dalam membentuk Unit Jenayah Alam Sekitar di PDRM sangat dialu-alukan.

Jika alam sekitar terutamanya sumber air dimusnahkan sekarang, apa lagi yang ada untuk kita dan generasi akan datang? Takkan sampai akhirnya, Malaysia pun perlu ikut negara jiran menggunakan air sisa yang dirawat sebagai sumber air di masa hadapan. Semoga kita dijauhkan daripada malapetaka ini!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here