Kes sporadik dan kluster baharu di Sabah

0
35

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan penularan wabak Covid-19 di Lahad Datu, Tawau dan Kunak di Sabah melibatkan kes sporadik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, KKM mengesan kes positif melalui beberapa kes saringan di klinik kesihatan dan hospital.

Katanya, kes sporadik merupakan jangkitan melibatkan individu yang tidak mempunyai sejarah perjalanan ke tempat berisiko tinggi dan tidak mempunyai kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

“Memang di Lahad Datu, Tawau dan hari ini, Kunak ada kes sporadik,” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, masyarakat perlu mengelakkan diri daripada dijangkiti oleh Covid-19 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Virus sudah pun ada dalam masyarakat, apa yang perlu kita lakukan adalah elakkan dari dijangkiti.

“Petugas barisan hadapan juga perlu patuh kepada SOP dengan memakai pakaian perlindungan diri (PPE), jika tidak bermulalah jangkitan dalam komuniti,” katanya.

Sehubungan itu katanya, KKM masih menjalankan tindakan kesihatan awam bagi mengesan individu yang terdedah dengan kes positif.

“Kalau dapat jalankan di lapangan dengan cepat, kita dapat mencegah jangkitan,” katanya.

Pada perkembangan sama, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat kluster baharu dikesan di Kunak, Sabah melibatkan seorang wanita warganegara Malaysia berusia 68 tahun.

“Beliau ditemukan tidak sedarkan diri di rumah dan dibawa ke Hospital Kunakk kemudian dirujuk ke Hospital Tawau untuk rawatan serangan jantung, strok dan penyakit hati.

“Selepas saringan Covid-19, wanita berkenaan didapati positif pada 13 September lalu. Beliau kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan bantuan pernafasan,” katanya.

Katanya, hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif, lapan lagi kes positif dikesan dalam kalangan keluarga kes.

“Sehingga 15 September, sejumlah 128 individu telah disaring dalam kluster ini melibatkan 109 warga negara dan 19 bukan warga negara.

“Daripada saringan itu, sembilan dikesan positif, 18 negatif, manakala 101 lagi sedang menunggu keputusan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here