Ketidakstabilan politik dan ketakutan pada Covid-19

0
71
Gambar hiasan

HARI ini politik negara bergolak lagi apabila Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa memiliki majoriti untuk membentuk kerajaan baharu sekaligus merangkul jawatan perdana menteri yang diidamkan.

Jika dikira sejak Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu, episod kekalutan politik seperti ini sudah masuk kali ke berapa pun kita sudah tidak terhitung. Rakyat sudah penat mengira pecahan ahli-ahli Parlimen.

Yang pasti selepas PRU-14, rakyat mempunyai persepsi yang sama terhadap kebanyakan pemimpin politik di negara ini, rakus dan gila kuasa.

Bahkan pergolakan politik negara sudah pergi kepada tahap yang terlalu ekstrem dan tidak pernah terjangkau oleh kewarasan kita apabila tindakan lompat parti sudah menjadi amalan biasa.

Dan hari ini juga kita lihat, ada pemimpin tertinggi parti yang turut meletakkan diri serendah-serendahnya dengan tindakan belot dan berpaling tadah.

Mungkin bagi kita, itu sikap tidak tahu malu tapi bagi pemimpin politik ia dialaskan sebagai tanda kematangan politik. Terpulanglah, yang pasti tingkah laku itu semakin membuatkan pengundi rasa benci dan dipermain-mainkan.

Mereka lupa rakyat sudah terlalu muak melihat pertelingkahan demi pertelingkahan semata-mata untuk memastikan mereka kekal dalam setiap perebutan kuasa.

Sehinggakan dalam keadaan negara sedang berdepan dengan penularan wabak penyakit pun, mereka masih tidak segan silu berpaling tadah untuk mencari tuan-tuan baharu. Lihat sahaja apa yang berlaku sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Jangan sampai satu masa nanti, tiada lagi rakyat yang mahu keluar untuk mengundi kerana sudah betul-betul fed up kepada peminpin politik, kecuali mereka yang dalam kalangan penyokong-penyokong pemimpin parti sahaja.

Dalam era politik tidak berkesudahan ini, rakyat juga tertanya-tanya berapa ramai lagikah perdana menteri yang akan dilantik untuk mentadbir Malaysia dalam tempoh yang terlalu singkat?

Sedangkan pentadbiran yang silih bertukar ganti ini tidak akan membawa apa-apa keuntungan kecuali kesan ekonomi dan sosial yang meleset. Yang pasti, konflik politik tidak berkesudahan ini banyak mengganggu perjalanan pentadbiran negara.

Justeru, cadangan pindaan Akta Pilihan Raya seperti yang dicadangkan oleh Khairi Jamaluddin merupakan langkah yang tepat bagi mengekang ‘politik katak’.

Apatah lagi di sesetengah kawasan, masih ramai yang mengundi berdasarkan parti bukannya atas kapasiti calon. Tindakan meninggalkan parti sudah tentu adalah satu pengkhianatan kepada mandat diberikan.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan ahli politik, undang-undang itu jika dilaksanakan sudah tentu akan menjadi senjata yang pada bila-bila masa boleh ‘memakan tuan’.

Apatah lagi apabila perjuangan mereka berasaskan kuasa dan wang ringgit. Ia sudah tentu tidak akan memberi kebebasan kepada mereka untuk beralih kepada ‘tuan’ baharu.

Untuk jangka masa panjang, senario politik semasa ini juga akan memberi gambaran kepada pemimpin generasi baharu bahawa tindakan lompat parti adalah sesuatu yang normal.

Padahal politik sepatutnya menjadi proses dan cara memperoleh kuasa secara sah untuk berkhidmat demi kepentingan rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here