KJ jadi pendamai

0
221
Khairy (dua dari kiri) bersama Veveonah dan ibu bapanya

CYBERJAYA – Selepas lebih seminggu isu melibatkan pelajar sebuah universiti awam, Veveonah Mosibin dan dua timbalan menteri berlarutan, akhirnya ia menemui noktah apabila Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaludin tampil memohon maaf bagi pihak kerajaan.

Dalam satu hantaran menerusi laman Facebook Khairy, beliau turut berjumpa dengan ibu bapa pelajar tersebut untuk memohon maaf.

“Sempat bertemu Veveonah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

“Saya telah mohon maaf kepada beliau dan ibu bapa beliau bagi pihak kerajaan,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, Khairy yang lebih dikenali sebagai KJ turut menawarkan ruang dan peluang kepada Veveonah untuk bekerjasama dengan sebuah yayasan di bawah kementeriannya.

“Saya juga telah cadangkan untuk Veve berkerjasama dengan Yayasan Inovasi Malaysia untuk membangunkan projek inovasi di kampung beliau dalam pemeliharaan alam sekitar,” ujarnya.

Isu mengenai Veveonah panas apabila Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin mendakwa Veveonah hanya cuba meraih populariti apabila merakamkan video dia sedang menjalani peperiksaan di atas pokok semata-mata untuk mendapatkan ‘signal’ internet ketika menjawab satu soalan dalam Dewan Negara.

Bagaimanapun, Zahidi kemudiannya memohon maaf selepas menyedari berlakunya kesilapan maklumat yang diperolehnya mengenai Veveonah.

Zahidi memaklumkan bahawa beliau mendapat maklumat berkenaan daripada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri yang juga merupakan Timbalan Menteri Kewangan I.

Bagaimanapun, Abdul Rahim tetap mempertahankan dakwaannya itu terhadap Veveonah sehingga menyebabkan ramai pihak berang kerana beliau tidak menyelesaikan isu asas mengenai keperluan jalur lebar di kawasan pedalaman.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here