Lesen basikal atau lesen akal?

0
92


APA Khabar Orang Kita…Sekarang nampaknya trend berbasikal di Malaysia secara tiba-tiba menjadi popular sehingga habis di ‘bedal’ laluan yang ada sehingga ke lebuh raya.


Namun bukan semua begitu, ada yang memilih jalan atau laluan selamat untuk berkayuh dan menitikberatkan aspek-aspek keselamatan bagi mengelak perkara tidak diingini.


Apa yang membuatkan ramai geram dengan geng basikal ini ialah apabila ada segelintir mereka menggunakan laluan yang tidak sepatut termasuk laluan utama dan lebih raya.


Itu tidak kira lagi kesalahan lain yang mereka langgar semberono seperti tidak mematuhi lampu isyarat seperti kenderaan lain dan hanya mengangkat tangan ketika melintas.


Jika di lebuh raya, kenderaan lain pula yang terpaksa mengalah kerana kebanyakan mereka suka mengayuh sambil berbual panjang, mereka fikir tengah duduk lepak minum kopi?.


Beberapa hari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kenyataannya berkata, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu melarang atau menyekat daripada menggunakan kenderaan di atas mana-mana jalan yang tertentu.


Jika disabitkan kesalahan, penunggang basikal juga boleh dikenakan denda tidak melebihi daripada RM1,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga bulan atau kedua-duanya sekali.


Rasanya itu satu tindakan tepat, rata-rata pengguna lebuh raya lain bukan berniat untuk diskriminasi sukan ini tetap ia lebih kepada untuk menjamin keselamatan pengayuh basikal itu sendiri.


Kita tidak mahu, pemandu kenderaan lain pula dipersalahkan apabila terlibat dalam kemalangan membabitkan pengayuh basikal, apa-apa pun ia bergantung kepada undang-undang sedia ada.


Baru-baru ini, media turut melaporkan cadangan MIROS mengenai pelaksanaan lesen dan nombor pendaftaran bagi pengguna basikal demi keselamatan dan perlindungan golongan itu.


Bagaimanapun, ramai yang tidak tahu bahawa wujud lesen untuk menunggang basikal di negara ini yang disertakan perlindungan insurans dan setakat ini 1,000 individu memohon lesen berkenaan menerusi Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia.


Lesen berkenaan bukan sahaja bagi tujuan perlumbaan, sebaliknya terpakai untuk mereka yang ingin melakukan kayuhan santai di jalan raya atau lebuh raya. Bagaimanapun, pemilikan lesen tersebut tidak diwajibkan kepada semua.


Isu yang kian hangat ini turut mendapat reaksi pelumba basikal trek negara, Mohd. Azizulhasni Awang yang turut menyarankan agar kerajaan  mencontohi Thailand dengan membina litar khas basikal untuk peminat sukan itu sebagai langkah mengurangkan risiko kemalangan di negara ini.

Mohd. Azizulhasni berkata, litar yang digelar  ‘Skylane Bangkok’ itu mempunyai jarak sepanjang 23.5 kilometer (km) bagi setiap satu pusingan dan mampu memberi keselesaan dan ruang kepada  peminat sukan berbasikal.

Selain itu katanya, Malaysia perlu mencontohi Korea Selatan yang mempunyai litar khas sepanjang 1,000 km dengan menghubungkan antara satu negeri ke negeri lain.

“ Sekarang kita mahu galakkan rakyat Malaysia berbasikal sebab boleh melahirkan individu yang sihat walafiat. Kalau di tangani dengan betul mungkin boleh mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Tambahan pula penggunaan basikal dapat mengurangkan pencemaran bunyi dan alam sekitar selain mempunyai pelbagai manfaat lain termasuk ekonomi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here