Lesen, nombor plat basikal tidak dibincang di peringkat kementerian

0
55

CYBERJAYA – Cadangan penggunaan nombor pendaftaran dan pelesenan pada basikal seperti dicadangkan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) tidak pernah dibincang di peringkat kementerian.

Menteri Pengangkutan (MOT), Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, setakat ini kementeriannya tidak bercadang untuk melaksanakan peraturan seperti yang diwajibkan pada kenderaan bermotor itu.

“Banyak lagi faktor yang perlu diteliti dan dipertimbang oleh MOT bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki.

“Sebarang komen yang dibuat oleh MIROS seperti dilaporkan media tidak menjadi dasar sehinggalah melalui pelbagai proses, seterusnya mendapat kelulusan menteri,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook beliau, semalam.

Media baru-baru ini menyiarkan cadangan MIROS mengenai pelaksanaan lesen dan nombor pendaftaran bagi pengguna basikal demi keselamatan dan perlindungan golongan itu.

Ka Siong berkata, sebelum apa-apa dasar di bawah bidang kuasa kementeriannya dilaksanakan, ia memerlukan kajian menyeluruh dan mendapat pertimbangan pengurusan kanan MOT termasuk pejabat menteri.

“Semua pengumuman polisi pra-matang dilarang tanpa persetujuan menteri.

“Untuk keselamatan penunggang basikal, MOT melalui Jabatan Pengangkutan Jalan terus mempromosikan program advokasi keselamatan dengan penggemar sukan berbasikal dan persatuan-persatuan yang berkaitan secara berterusan, begitu juga dengan semua pengguna jalan raya lain.

“Program berkaitan keselamatan itu juga akan dibincangkan dan dikemas kini semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya yang akan diadakan pada bulan ini,” katanya.

Beliau menasihati semua penunggang atau penggemar sukan berbasikal supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya seperti peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here