Macau Scam: RM121,300 simpanan ASB pegawai tadbir lesap

0
131

ALOR SETAR – Gara-gara termakan helah penipuan seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai bank, seorang pegawai tadbir di negeri ini kerugian sebanyak RM121,300. 

Mangsa berusia 43 tahun dikatakan telah dihubungi wanita berkenaan sejak Januari lalu dengan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi.

Mangsa yang tidak pernah membuat pinjaman peribadi itu kemudian dihubungkan dengan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota polis berpangkat sarjan dari Balai Polis Seri Kembangan, Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, Superintenden Elias Omar berkata, selepas semakan demi semakan, anggota Macau Scam yang menyamar sebagai polis itu mendakwa mangsa terlibat dalam kes penggubahan wang haram.

“Pada 30 Januari lalu, mangsa dihubungi suspek yang mengaku dari Bahagian Penggubahan Wang Haram Bukit Aman dan meminta mangsa mengemas kini maklumat akaun bank mangsa.

“Mangsa diarah mengeluarkan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan dipindahkan ke akaun Agrobank bagi pengesahan wang tersebut bersih daripada wang haram,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Elias berkata, mangsa kemudian diminta membuat tambahan wang sehingga sanggup membuat pinjaman peribadi.

Katanya, pada penghujung tahun 2020, suspek meminta mangsa menunggu hasil siasatan dan mengarahkan mangsa untuk tidak menyemak akaun Agrobank itu kerana akan mengganggu siasatan. 

Bagaimanapun pada 20 September lalu, mangsa membuat semakan ke atas akaun bank itu dan mendapati terdapat 17 kali pindahan wang secara atas talian bermula 30 Januari hingga 29 Jun lalu berjumlah RM121,300.

“Mangsa membuat laporan polis di Baling pada 22 September lalu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here