Mangsa hanyut di Teluk Yu ditemukan selamat oleh nelayan Thailand

0
82

LANGKAWI – Seorang lelaki dan wanita yang dilaporkan hilang di laut berdekatan Teluk Yu di sini ditemukan selamat di Pantai Pasir Panjang, Thailand, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, mangsa iaitu Nor Aishah Musa, 31 dan Bhon Heng Sang, 32,
dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu selepas bot dinaiki mereke kehabisan minyak dan hanyut sebelum ditemui oleh nelayan Thailand.

Beliau berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Langkawi menerima laporan mengenai kehilangan mangsa daripada abang mangsa pada pukul 12 pagi Ahad lalu dan melancarkan pencarian sejam kemudian.

Bertindak kepada laporan itu katanya, Maritim Malaysia telah melancarkan pencarian menggunakan sebuah bot Petir dan Kapal KM Siangin dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan seluas 47.2 batu nautika persegi.

“Kami menerima laporan daripada polis mengenai penemuan dua orang mangsa kira-kira jam 9.30 malam semalam,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Zawawi berkata, urusan membawa pulang mangsa telah dilakukan pada pagi semalam dengan bantuan nelayan Thailand di sempadan negara jiran itu berhampiran Tanjung Kemarong Langkawi.

“Kedua-dua mereka selamat dibawa ke Jeti Tanjung Rhu pada jam 12.10 tengah hari semalam untuk menjalani saringan kesihatan daripada pejabat Kesihatan Ayer Hangat sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here