Mutasi jenis D614G yang lebih pantas merebak dikesan dalam 5 kluster

0
227
Ujian makmal yang dilakukan di IMR

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan terdapat mutasi jenis D614G yang telah dikesan pada lima kluster Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu diperoleh selepas makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) menjalankan ujian penjujukan genom ke atas 32 virus Covid-19.

Beliau berkata, ujian pengasingan dan kultur virus Covis-19 itu dibuat bagi kluster Benteng LD (23 virus), kluster Sivagangga (4 virus), kluster Tawar (3 virus), kluster Sungai (1 virus) dan kluster Bukit Tiram (1 virus).

“Kajian susulan juga dijalankan bagi mengkaji kaitan genetik antara virus-virus yang diasingkan ini dan membandingkan dengan virus yang dikesan sebelum ini pada kluster Sivagangga dan kluster Tawar.

“Seperti disyaki juga, kesemua virus yang diasingkan bagi kluster-kluster di Kedah (kluster Sivagangga, kluster Tawar dan kluster Sungai) adalah saling berkait dan besar kemungkinan adalah berasal dari sumber virus yang sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua 23 virus tersebut daripada kluster Benteng LD pula didapati saling menyerupai namun tidak berkait dengan virus Covid-19 yang dijumpai di Kedah, meskipun kesemuanya mempunyai mutasi D614G.

Dr. Noor Hisham berkata, ujian yang dilakukan itu adalah ujian awal dan terdapat beberapa ujian susulan sedang dijalankan bagi menguji lanjut kebarangkalian dan semakan dengan kumpulan keluarga virus Covid-19.

“Ini bermakna masyarakat perlu lebih berwaspada dan lebih berhati-hati. Ini kerana virus Covid-19 dengan mutasi D614G ini didapati lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak.

“Oleh itu, masyarakat diingatkan agar mengamalkan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan iaitu penjarakan fizikal, kebersihan kendiri yang tinggi terutama mencuci tangan dengan air dan sabun serta memakai pelitup muka,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here