Wanita bergari lolos dilarikan teman lelaki

0
179

RAUB – Seorang tahanan wanita berjaya melarikan diri dalam keadaan tangannya masih bergari dengan melompat naik motosikal dipercayai teman lelakinya sebaik sahaja menghadiri sebutan kes di Mahkamah Sesyen di sini.

Suspek yang merupakan Orang Kena Tuduh (OKT) itu dikenal pasti sebagai Saidatina Aida Sahabudin manakala lelaki yang muncul sebagai ‘penyelamat’ suspek pertama dikenali sebagai Mohamad Rejab Ali.

Ketua Polis Daerah Raub Superintendan Kama Azural Mohamed berkata, kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu berlaku ketika 12 orang OKT sedang dimasukkan ke dalam lori untuk dibawa ke lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub selepas urusan di mahkamah selesai.

Katanya, seorang lelaki bermotosikal Yamaha LC berwarna hitam tiba-tiba muncul dan membawa lari suspek wanita berusia 23 tahun berkenaan.

“OKT wanita itu kemudian melompat naik ke atas motosikal dan penunggang (motosikal) terus memecut laju meninggalkan perkarangan parkir mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, cubaan anggota polis untuk menahan dan mengejar wanita berkenaan gagal setelah terjatuh dan cedera pada tapak tangan.

“Wanita itu berjaya melarikan diri dalam keadaan kedua tangannya masih bergari,” jelasnya lagi.

Kama Azural berkata, OKT wanita tersebut sebelum ini dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 39C (1) ADB 1952.

“Usaha mengesan pasangan itu sedang giat dijalankan dan keluarga mahupun orang ramai diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here