Pemandu Toyota Camry terbabit kemalangan di Lebuh Raya Karak ditahan polis

0
169

KUALA LUMPUR – Polis menahan pemandu sebuah kereta yang menyebabkan kemalangan membabitkan penunggang dan pembonceng sebuah motosikal di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak kira-kira pukul 3 petang hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh@Mohd Daud berkata, pemandu kenderaan itu kini sedang disiasat pihak polis.

“Pelaku berjaya ditangkap dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya memetik laporan Sinar hari, hari ini.

Tular dua rakaman di media sosial hari ini apabila sebuah kereta jenis Toyota Camry berwarna putih bertindak melalui lorong kecemasan sehingga menyebabkan kemalangan kepada seorang penunggang dan pembonceng motosikal di laluan Karak menghala ke Kuala Lumpur.

Klip masing-masing berdurasi seminit itu tular dengan meminta orang ramai menularkannya agar pelaku dapat dikesan dan diserahkan kepada pihak berkuasa.

Sebuah video merakamkan berlaku kemalangan sehingga mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal melambung ke atas jalan dan dilanggar pemandu kenderaan itu yang terus memecut kenderaannya.

Pemandu Toyota Camry menukar laluan dipercayai tidak menyedari kehadiran motosikal dari belakang.

Satu lagi video menunjukkan tindakan pemandu Toyota Camry tersebut cuba memotong kenderaan dengan memasuki sebelah kiri laluan kecemasan sehingga menyebabkan kemalangan kepada motosikal yang datang dari arah belakang.

Sementara itu, maklumat peribadi pemandu terbabit turut ditularkan orang ramai.

Bagaimanapun, maklumat lanjut mengenai identiti pemandu dan juga kecederaan yang dialami oleh penunggang dan pembonceng motosikal terbabit masih belum diperoleh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here