Perdana Menteri bimbang kes Covid-19 terus catat peningkatan

0
35
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes Covid-19 dalam negara sejak kebelakangan ini yang telah mencatatkan sebanyak 615 kes baharu sepanjang 14 hari lalu.

Perdana Menteri berkata, peningkatan itu turut menyaksikan tiga buah daerah merekodkan 41 kes atau lebih sepanjang tempoh 14 hari yang lepas.

“Daerah-daerah yang dikategorikan sebagai merah ini ialah Kota Setar di Kedah dan Tawau serta Lahad Datu di Sabah.

“Sementara itu, jumlah keseluruhan pelawat dari luar negara yang dikesan positif Covid-19 sepanjang tempoh 3 April sehingga 15 September lalu adalah seramai 1,017 orang,” katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri Situasi Semasa Jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, berdasarkan situasi semasa di luar negara, tren kes yang dilaporkan masih menular secara aktif dan dijangka berterusan untuk suatu tempoh masa yang agak lama.

“Dengan situasi ini, sesiapa sahaja mungkin terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 pada ketika ini.

“Tidak terkecuali, Malaysia juga masih mengalami penularan aktif wabak ini. Kes harian Covid-19 yang direkodkan adalah sekitar satu, dua dan adakalanya tiga digit tanpa pernah mencatatkan kes sifar.

“Ini memberikan gambaran bahawa rantaian jangkitan Covid-19 di Malaysia masih belum dapat diputuskan sepenuhnya,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here