PRN Sabah serlah kegilaan rebut kuasa

0
97
AMINUDDIN YAHAYA

CYBERJAYA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung pada 26 September ini jelas memaparkan sikap gila kuasa pemimpin parti yang mengidamkan jawatan Ketu Menteri.

Presiden gerakan Islam Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Aminuddin Yahaya berkata, dengan jumlah 447 orang calon yang bertanding, pilihan raya kali ini sudah tersasar daripada prinsip demokrasi bahkan hanya memeningkan rakyat.

“Tidak kiralah siapa yang akan menang nanti, sama ada Perikatan Nasional (PN) Barisan Nasional (BN) atau gabungan ‘Warisan Plus’ tetapi saya yakin jawatan Ketua Menteri adalah idaman setiap calon yang bertanding.

“Mereka sanggup lakukan apa sahaja demi ‘jawatan emas’ itu memihak kepada kumpulan masing-masing.

“Apa tidaknya, dengan sumber alam yang begitu banyak dan negeri yang cukup luas sudah pasti hasilnya melimpah-ruah yang boleh dikaut,” katanya dalam satu kenyataan dipetik portal Ismaweb.

Aminuddin berkata, ketamakan kuasa semakin terserlah apabila ada wakil rakyat yang melompat parti kerana menantikan habuan yang cukup lumayan.

Justeru katanya, pengundi Sabah perlu berfikiran matang dalam memilih calon dan memastikan pemimpin yang dipilih benar-benar tulen berjuang demi rakyat.

“Orang Sabah kena berani membuat perubahan dan memberi isyarat yang kuat kepada semua pemain politik yang bertanding bahawa anda tidak boleh lagi dipermain-mainkan seperti apa yang berlaku selama ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin hairan apabila parti-parti politik mula berebut jawatan Ketua Menteri walaupun belum memenangi pilihan raya itu.

Katanya, walaupun belum menang PRN Sabah, parti-parti politik sudah mula bicara dan berebut jawatan Ketua Menteri.

“Pimpinan utama UMNO sendiri mengaku secara jelas yang mereka tidak selesa dengan tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menamakan Datuk Hajiji Noor sebagai calon Ketua Menteri Sabah tanpa berunding. Sudahlah bertembung sesama sendiri hingga 17 kerusi, kini berebut tempat Ketua Menteri pula.

“Kita tidak pasti apakah sebenarnya masalah dan perselisihan dalaman yang berlaku antara mereka kerana kita pun tahu BN tidak begitu selesa dengan kewujudan PN sebagai satu entiti gabungan politik rasmi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here