Rasuah pasang karpet masjid, dua direman SPRM

0
549

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan dua individu berkaitan rasuah bagi kerja-kerja pemasangan permaidani di sebuah masjid di Subang Jaya, Jumaat lalu.

Memetik laporan Utusan Malaysia, perintah penahanan reman kepada seorang pengarah projek dan arkitek itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Nadiah Misman.

Sumber memaklumkan, mereka disyaki meminta suapan bernilai RM50,000 dan telah menerima bayaran RM10,000 daripada pemilik syarikat pembinaan terbabit.

“Suapan tersebut dipercayai bagi meluluskan kerja pemasangan permaidani projek membina masjid baharu di Subang Jaya.

“Pengarah projek ditahan pada pukul 2.20 petang manakala arkitek terbabit ditahan lima minit selepas itu,” menurut sumber berkenaan.

Terdahulu, perintah tahanan reman terhadap pengarah projek dilakukan di Mahkamah Akta Pencegahan Jenayah 2013 (POCA) manakala arkitek itu ditahan di Hospital Shah Alam kerana ketika itu dia ada masalah kesihatan.

Ketika prosiding, pengarah projek terbabit diwakili peguam, Sivaraj Retinasekharan manakala arkitek terbabit tiada peguam.

Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here