Selamat menyambut Hari Malaysia

0
44
Bendera Jalur Gemilang

SEDAR tak sedar esok kita akan menyambut Hari Malaysia ke-57.

Jika sesiapa lahir pada tanggal 16 September 1963 pasti usianya juga sudah menjangkau 57 tahun iaitu satu tahap usia yang sudah melalui pelbagai kisah sama ada suka atau duka.

Tapi bagi sebuah negara bernama Malaysia, meskipun pelbagai peristiwa telah dilaluinya, dalam usaha untuk bergerak ke hadapan sudah pasti lebih banyak cabaran dan rintangan yang pasti bakal dilalui.

Dengan serangan wabak Covid-19 di seluruh dunia, Malaysia juga tidak terlepas terkena tempiasnya.

Semua sektor ekonomi terkena kesannya, malah tak kurang ada syarikat yang terpaksa mengucapkan selamat tinggal dan membiarkan premis mereka ditutup buat selama-lamanya.

Tiada siapa yang menjangkakan situasi buruk sebegini akan berlaku ketika seluruh negara teruja menyambut kehadiran tahun 2020.

Bagi yang kehilangan pekerjaan atau terpaksa menutup bisnes sedia ada pasti merasakan tahun 2020 merupakan tahun malang dan tidak bernasib baik.

Mungkin ada benarnya, tetapi ini bukan bermakna kita perlu mengalah dengan dugaan yang mendatang. Pasti masih ada sinar di hujung terowong, cuma jarak perjalannya sama ada cepat atau lambat sahaja.

Jika mengalami masalah kewangan atau tidak mampu membayar hutang daripada institusi kewangan, janganlah melarikan diri. Tambahan pula hujung bulan ini morotarium akan berakhir.

Jika perlu melanjutkan tempoh morotarium teruslah berhubung dengan pihak berkenaan segera. Jangan kerana dibebani masalah kewangan kita mengambil keputusan bodoh sehingga mengancam nyawa.

Ingat, tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Jika kita tiada tempat untuk bersandar dan mengadu, kita masih ada lantai untuk bersujud.

Hanya pada Allah jualah sebaik-baik tempat kita merintih dan mengadu.

Selamat Menyambut Hari Malaysia!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here