Tuntutan Sabah: ‘Cadangan Mohd Shafie Apdal tidak masuk akal’

0
246

KOTA KINABALU – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menyelar cadangan Ketua Menteri Sabah untuk berunding dengan Filipina berhubung tuntutan terhadap Sabah sebagai tindakan tidak masuk akal yang seolah-olah mengiktiraf tuntutan itu.  

Dalam isu berkenaan, beliau berkata kerajaan tetap dengan pendirian bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan akan kekal selamanya.

“Sampai bila-bila pun, Sabah sebahagian daripada Malaysia dan usaha kononnya nak berunding dengan Filipina yang dicadangkan Ketua Menteri sendiri, saya lihat memang tidak masuk akal.

“Kerana kalau kita adakan rundingan bermakna, kita mengiktiraf tuntutan itu,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tuntutan Filipina terhadap Sabah baru-baru ini di sini malam tadi.

Hishamuddin berkata demikian pada Majlis Semarak Hari Malaysia di Dewan Taman Perindutrian Kota Kinabalu (KKIP).

Dalam pada itu, beliau memberitahu telah menyatakan pendirian kerajaan untuk tidak berunding kepada Duta Filipina di Malaysia.  

“Saya sudah beritahu duta Filipina, mahu runding apa lagi. Tiada sebab untuk berunding,” katanya.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal baru-baru ini mahu kerajaan Persekutuan berunding dengan Filipina berhubung isu itu selepas Kementerian Luar Filipina mahu membuka semula jabatan khas bagi menggerakkan usaha menuntut dan merebut semula Sabah daripada Malaysia.

Kerajaan Filipina baru-baru ini turut meluluskan rang undang-undang memasukkan peta Sabah dalam passport negara itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here