UMNO tidak patuh Piagam Muafakat Nasional?

0
228
Datuk Takiyuddin Hassan

CYBERJAYA – Pas menggesa supaya rakannya dalam Muafakat Nasional (MN), UMNO memberikan penjelasan berhubung berlakunya perubahan sokongan ahli-ahli Parlimen parti itu terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti yang didakwa oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, Pas merasakan jika benar keadaan tersebut berlalu, ia bermakna UMNO telah tidak mematuhi persefahaman dan persetujuan yang termaktub dalam Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai pada 14 September 2019.

“Sukacita diingatkan, Piagam MN dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatupadukan umat Islam dalam negara, sekaligus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan (PH) yang diterajui PKR, DAP dan Amanah.

“Justeru sekiranya peralihan ini benar, ianya boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan kerajaan PN yang terbina di atas permuafakatan Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan beberapa parti lain di atas kejatuhan kerajaan PH,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Takiyuddin mengajak UMNO untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama sebelum ini.

Kelmarin, Anwar mengumumkan mempunyai jumlah ahli Parlimen yang mencukupi bagi membentuk kerajaan baharu.

Bagaimanapun, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau masih Perdana Menteri yang sah dan kerajaan PN masih stabil.

Berikutan itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengeluarkan kenyataan untuk menyokong penuh kerajaan PN dan meneruskan semangat setiakawan dalam PN dan MN.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here