Agong titah semua ahli Parlimen sokong Belanjawan 2021

0
109
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah, supaya semua ahli Parlimen sama ada kerajaan mahupun pembangkang memberikan sokongan penuh kepada Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan tidak lama lagi.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, baginda menasihatkan sedemikian kerana belanjawan itu penting demi kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara.

“Sehubungan itu, baginda menyeru ahli Dewan Rakyat supaya menghormati titah Seri Paduka Baginda untuk mereka memberhentikan segera segala perbalahan politik dan sebaliknya mengutamakan kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa gangguan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, baginda menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mesyuarat pra Kabinet di Istana Negara hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadil berkata, baginda juga mengingatkan ahli Dewan Rakyat bahawa sengketa politik untuk kepentingan peribadi akan merugikan negara dan seluruh rakyat.

Sementara itu, katanya, baginda juga menzahirkan harapan agar belanjawan tersebut memberi penekanan kepada pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan serta kelangsungan hidup rakyat.

“Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan keyakinan penuh Perdana Menteri untuk menerajui kepimpinan negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis saat ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here