Air tercemar: Sultan Selangor dukacita nasihat tidak diendah

0
331
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

CYBERJAYA – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan rasa dukacita baginda selepas lebih sejuta pengguna di Lembah Klang terputus bekalan air bersih apabila Sungai Selangor mengalami pencemaran.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani menerusi satu kenyataan memaklumkan, baginda sudah banyak kali menulis surat kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berhubung isu bekalan air sejak 2009.

“Baginda telah banyak kali menulis surat kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri berhubung isu bekalan air semenjak tahun 2009 lagi, supaya masalah air ini jangan dipolitikkan dan diatasi dengan segera kerana ia adalah merupakan keperluan asas kehidupan rakyat.

“Surat baginda yang terkini mengenai isu gangguan bekalan air telah dihantar kepada Menteri Besar Selangor bertarikh 8 September lalu,” katanya hari ini.

Muhamad Munir berkata, dalam surat tersebut, baginda telah memberikan nasihat serta beberapa syor dan pandangan untuk mengatasi masalah bekalan air bersih.

Bagaimanapun, katanya, titah baginda tidak memberi kesan kerana masalah yang sama masih terus berlaku dan berulang sehingga menyusahkan rakyat

Sementara itu, dalam perkembangan lain, baginda turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kes baharu positif Covid-19 di Selangor khususnya dan di Malaysia amnya, yang sudah mencapai jumlah tertinggi sejak Mac lalu.

Mohamad Munir berkata, susulan perkembangan terbaru ini, baginda menyeru rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tidak ingkar arahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here