Anggota Kabinet wakili UMNO kekal, tiada pertukaran dengan pemimpin lain

0
1001
AHMAD ZAHID HAMIDI

CYBERJAYA – UMNO tidak akan meminta kepada Perdana Menteri untuk menggugurkan mana-mana anggota Kabinet yang mewakili UMNO untuk ditukar dengan pemimpin kanan dalam parti itu.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa sama UMNO juga beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti.

“UMNO adalah sebuah parti yang dasar-dasarnya sentiasa memberikan keutamaan kepada agenda rakyat.

“Maka, semua anggota Kabinet yang mewakili UMNO terus kekal dalam kerajaan dan beriltizam untuk terus menjaga kebajikan rakyat dan mempertahankan maruah parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu berlangsung Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi UMNO di PWTC yang berakhir lewat malam tadi.

Sebelum ini terdapat khabar angin bahawa mesyuarat tersebut adalah untuk memilih pemimpin kanan parti itu sebagai timbalan perdana menteri dan menteri bagi menggantikan menteri yang tiada jawatan dalam parti.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, UMNO juga memutuskan agar mandat rakyat dikembalikan bagi mengwujudkan kerajaan yang stabil dengan mengadakan pilihan raya umum (PRU) setelah pandemik Covid-19 dapat dikawal dan berada di peringkat minimum.

Dalam pada itu, katanya, UMNO juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat pihak yang untuk mendokong titah Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, menyentuh mengenai Belanjawan 2021, katanya, UMNO akan memperhalusi pelbagai pandangan dan harapan rakyat mengenai belanjawan itu untuk diangkat kepada kerajaan

“Ini termasuklah isu perlanjutan tempoh moratorium, bantuan sara hidup kepada rakyat yang hilang punca pendapatan akibat Covid-19, bantuan kepada belia yang menganggur, bayaran khas kepada barisan hadapan dan beberapa inisiatif untuk meningkatkan pengembangan ekonomi negara.

“Lantaran itu, UMNO akan memastikan Belanjawan 2021 yang bermanfaat untuk rakyat dapat diluluskan,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here