Apa nasib pelajar kita di IPT

0
128
Gambar hiasan

BEBERAPA hari lalu ketika singgah di sebuah R&R semasa pulang dari utara semenanjung, penulis sempat berbual dengan seorang pekerja kebersihan di hentian Rawang, Selangor.

Perbualan bermula selepas melihat wanita warga emas itu tidak memakai pelitup muka ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di sekitar laluan orang ramai menuju ke tandas.

Mulanya sekadar mahu bertanya khabar. Keramahan mak cik pencuci R&R itu ‘menarik’ perbualan sehingga beberapa minit.

Saya bertanyakan jika dia ada pelitup muka untuk dipakai? Katanya tiada, sebab sudah lama tidak memakainya kerana setiap hari sibuk dengan kerja.

Saya bercerita sedikit tentang bahaya Covid-19 dan kenapa dia perlu memakai pelitup muka. Walaupun nasihat itu sekadar perkara basic yang setiap hari telah dihebahkan, dia seperti terpegun mendengar.

Setiap input yang diberikan disusuli dengan terima kasih seolah-olah langsung tidak mengetahuinya. Dalam hati penulis tertanya-tanya, bagaimana maklumat yang cukup penting ketika pandemik Covid-19 ini tidak ‘sampai’ ke pengetahuannya.

Di akhir pertemuan penulis sempat ‘menakutkan’ mak cik itu dengan harga saman yang perlu dibayar jika dia terus bekerja tanpa memakai pelitup muka.

Niat saya hanya untuk memastikan dia menjaga keselamatan dirinya ketika bekerja sebab dia menanggung anak yang ramai dan Alhamdulillah ada yang sedang belajar di sebuah universiti.

Namun pada penulis, sikap kurang cakna dan kealpaan mak cik di R&R itu masih boleh ‘dihadam’ mengambil kira kisah dia dan suaminya yang bertungkus-lumus mencari nafkah selain tinggal jauh di pedalaman Selangor.

Kisahnya tidak sama dengan ahli-ahli politik yang degil untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan kelompok pemerintah yang membuat keputusan berkenaan pencegahan wabak Covid-19 secara tidak efisien.

Mereka seolah-olah tidak belajar dari pengalaman dan kesilapan sepanjang penularan Covid-19. Saban hari kita melihat kesilapan demi kesilapan yang dilakukan sehingga rakyat menanggung bebannya.

Terbaru adalah tindakan flip-flop berhubung kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dianggap tidak bertimbang rasa sekaligus mencetuskan kemarahan umum.

Dalam peningkatan kes mendadak baru-baru ini, kita tertanya-tanya adakah pihak kerajaan dan pentadbiran universiti tidak belajar daripada mudarat yang berlaku di Amerika Syarikat.

Adakah angka 130,000 kes positif Covid-19 dengan 70 kematian kakitangan universiti dan pelajar di negara itu tidak pernah diambil kira.

Ya, mungkin ada yang beranggapan alang-alang gerbang IPT telah dibuka, lebih baik kemasukan pelajar perlu diteruskan sahaja. Persoalannya, sejak daripada awal lagi kenapa ia tidak dikaji sedalam-dalamnya.

Namun tindakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangguhkan pengajian secara bersemuka walaupun sudah sedikit terlewat diharap dapat mencegah bencana lebih buruk dalam kalangan pelajar IPT.

Yang pasti, tindakan membuka dan menerima semula kemasukan pelajar baru-baru ini tetap memberi risiko penularan berganda yang mungkin tidak terjangka.

Jika tidak mahu belajar dari AS sekalipun, di negara sendiri sudah ada banyak ‘model kluster’ yang sama dengan apa yang dihadapi pelajar IPT seperti kluster Depot Tahanan Imigresen, kluster Tembok (penjara) dan kluster penginapan pekerja asing.

Tidakkah model-model kluster ini sama dengan model pelajar kita di IPT? Sekiranya berlaku penularan, mampukah Kementerian Kesihatan (KKM) mengekang berpuluh malah beratus kluster baharu di dalam kampus?

Lebih menakutkan, pelajar-pelajar ini hidup dalam komuniti awam yang mana mereka bebas bergaul dan ke sana ke mari. Sesetengah universiti juga membenarkan pelajar di luar kampus. Nauzibillah, diharap tiada lagi kejadian seperti yang berlaku di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Ia bukan lagi soal sama ada pelajar kita boleh menjaga diri atau mematuhi SOP, tetapi apa yang patut menjadi pertimbangan adalah komposisi dan bilangan pelajar dalam kampus dengan perkongsian kemudahan yang terhad. Bahkan pematuhan SOP belum tentu dapat mencegah jangkitan Covid-19 di tempat seperti ini.

Seperti kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Seri Dr. Noor Hisham Abdullah sendiri, kumpulan umur 20 hingga 24 tahun adalah yang paling ramai dijangkiti Covid-19 ketika gelombang pertama.

Ini adalah kumpulan umur pelajar-pelajar IPT. Pada peringkat umur sebegini ada kebarangkalian yang tinggi mereka tidak menunjukkan sebarang gejala dan pemeriksaan suhu badan juga tidak dapat mengekang jangkitan.

Penulis berharap kerajaan dapat meneruskan dasar tiada pembukaan semula IPT sehingga Covid-19 kembali terkawal. Tengok di Taiwan, pembukaan semula universiti hanya dilakukan selepas kes dalam komuniti berjaya ditangani sehingga satu angka (setiap hari).

Tindakan pihak pengurusan tertinggi universiti yang telah pun mendapat kuasa autonomi dari kerajaan diharap dapat mengetepikan pengaruh politik dan sila tolak tepi dahulu soal kesan kewangan.

Apa yang lebih penting ketika ini adalah memastikan semua pelajar di IPT selamat demi kepentingan umum rakyat negara ini. Mereka jugalah harapan para ibu bapa yang mahukan anak-anak menjadi pandai dan mengubah nasib keluarga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here