Bekalan air di sekitar Lembah Klang kembali pulih esok

0
59
Pihak berkuasa memeriksa kawasan di Sungai Selangor yang tercemar

CYBERJAYA – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang telah kembali pulih dan memulakan operasi rawatan air pada jam 6 petang, hari ini.

Menurut Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), berikutan itu keempat-empat loji itu akan memaksimakan pengeluaran dan memenuhi paip-paip utama dan kolam terminal.

“Bekalan air dijangka akan mula disalurkan kepada pengguna pada jam 8 pagi esok.

“Air Selangor telah menyediakan pelan pemulihan bekalan air untuk 1,292 kawasan yang terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual di Wilayah Petaling, Gombak, Klang/Shah Alam, Kuala Lumpur, Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, jadual pelan pemulihan dibahagikan kepada tiga kumpulan utama mengikut wilayah-wilayah.

Sehubungan itu, katanya, Air Selangor memohon kerjasama pengguna agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di semua kawasan terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan bekalan air.

Sementara itu, katanya, setakat ini, Air Selangor telah menggerakkan sebanyak 91 lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis yang terjejas.

“Pengguna juga boleh mendapatkan bantuan bekalan air melalui 21 pili awam, menempatkan 34 tangki statik di 17 Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan semasa tempoh pemulihan bekalan air ini.

“Sila rujuk senarai pili-pili awam dan PKS di laman sesawang www.airselangor.com,” ujarnya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here