Covid-19: 2 daripada 6 kluster baharu dikesan di Lembah Klang

0
104
Kes baharu Covid-19 di Lembah Klang

CYBERJAYA – Lembah Klang terus mencatatkan pertambahan kes harian Covid-19 yang membimbangkan apabila 164 kes dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 71 kes adalah daripada kluster sedia ada.

“Dua daripada enam kluster baharu hari ini adalah dari Lembah Klang iatu kluster Bah Mutiara dan kluster Jambu.

“Kluster Jambu melibatkan daerah Hulu Langat yang mana kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-19,367 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan pra pembedahan pada 16 Oktober lalu dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti 13 lagi kes positif Covid-19 dan sehingga hari ini sejumlah 139 individu telah disaring, di mana 15 kes dikesan positif Covid-19 dan124 masih menunggu keputusan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, kluster Mutiara pula melibatkan daerah Hulu Langat serta daerah Titiwangsa dan Lembah Pantai di Kuala Lumpur.

Katanya, kes indeks bagi kluster itu iaitu kes ke-10,507 telah dikenal pasti positif Covid-19 hasil saringan individu bergejala.

“Kes juga mempunyai sejarah pulang dari Sabah dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Saringan kontak rapat telah mengenal pasti sembilan lagi kes positif Covid-19. Sehingga hari ini, sejumlah 96 individu telah disaring, di mana 10 kes dikesan positif dan 86 individu masih menunggu keputusan,” katanya.

Sementara itu, katanya, kluster baharu lain yang dikesan hari ini ialah kluster Tinusa dan Sauh di Sabah, kluster Sofi di Negeri Sembilan dan kluster Umboo di Melaka.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here