Covid-19: Sabah, Selangor terus catat pertambahan kes yang membimbangkan

0
94
Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah

CYBERJAYA – Sabah dan Selangor terus mencatatkan pertambahan kes harian Covid-19 yang tinggi dengan masing-masing sebanyak 673 kes dan 132 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, meskipun kes baharu di Sabah adalah 673, tetapi 231 kes daripada jumlah tersebut adalah dari kluster Penjara Kepayan.

“Sehingga pukul 12 tengah hari, sebanyak 862 kes baharu telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 22,225 kes. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 7,681 kes.

“Sabah masih mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 673 kes (78.1 peratus). Lebih banyak ujian makmal RT-PCR telah dapat dijalankan di Sabah serta dihantar ke Semenanjung.

Secara keseluruhan, sebanyak 235 kes (27.3 peratus) pada hari ini adalah daripada kluster Penjara Kepayan dan kluster Tembok. Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam penjara dan tidak menjangkiti masyarakat,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Mengulas lanjut, katanya, sehingga kini, terdapat 95 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU), di mana 29 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, katanya, hari ini terdapat pertambahan tiga lagi kes kematian yang kesemuanya dilaporkan di Sabah.

Sementara itu, katanya, sebanyak 634 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 adalah 14,351 kes atau 64.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here