Covid-19 terus mencanak, 871 kes dengan tujuh kematian

0
31

CYBERJAYA – Penularan Covid-19 di negara ini terus meningkat kepada ‘rekod baharu’ apabila sebanyak 871 kes positif dikesan dalam tempoh 24 jam yang lalu menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini, 20,498 kes.

Begitu juga dengan jumlah kematian akibat wabak Covid-19 di seluruh negara yang meningkat kepada tujuh orang dalam tempoh yang sama.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam kenyataannya berkata, empat lagi kluster baharu dikesan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 160 termasuk 85 kluster aktif.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 7,049 di mana pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan.

“Tujuh kematian menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 187 kes.

“Manakala empat kluster baharu adalah kluster Bah Layangan, kluster Alma, kluster Auto dan kluster Penjara Kepayan,” katanya dalam kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM), hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, daripada 871 kes baharu, 866 merupakan penularan tempatan dan lima lagi kes adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Beliau berkata, Sabah pada hari ini mencatat 702 kes, rekod tertinggi antara negeri diikuti Selangor (72) kes, Pulau Pinang (45), Perak (10), Kedah (9), Labuan (9), Kuala Lumpur (7), Sarawak (5), Negeri Sembilan (3), Terengganu (2), Johor (1), dan Melaka (1).

Berikut perincian kes kematian pada Ahad:

1) Kes 181 – Lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun. Pesakit meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

2) Kes 182 – Perempuan warganegara Malaysia berumur 70 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi. Pesakit meninggal dunia di Hospital Tawau.

3) Kes 183 – Lelaki warganegara Malaysia berumur 57 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi. Pesakit meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

4) Kes 184 – Perempuan bukan warganegara berumur 55 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi. Pesakit meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

5) Kes 185 – Lelaki bukan warganegara berumur 41 tahun. Pesakit meninggal dunia di Hospital Tawau.

6) Kes 186 – Lelaki warganegara Malaysia berumur 44 tahun dengan latar belakang penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan dislipidemia. Pesakit meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

7) Kes 187 – Perempuan warganegara Malaysia berumur 46 tahun. Pesakit meninggal dunia di Pusat Perubatan di Selangor

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here