Darurat: Agong tolak cadangan Perdana Menteri

0
6596
Yang di-Pertuan Agong berkenan menghadap Perdana Menteri kelmarin

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah, bahawa tiada keperluan buat masa ini untuk mengisytiharkan darurat di negara ini atau mana-mana bahagian di
Malaysia.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, namun demikian
Seri Paduka Baginda mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala ‘politicking’ yang boleh menggangu kestabilan pemerintahan negara.

“Al-Sultan Abdullah turut berpendapat bahawa tiada perlunya ahli-ahli Parlimen meneruskan tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh mengganggu gugat kestabilan kerajaan sedia ada.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa Belanjawan Negara 2021 yang akan
dibentangkan di sidang Parlimen adalah amat penting kepada rakyat di dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

“Justeru, peruntukan kewangan amat diperlukan oleh petugas barisan hadapan bagi melancarkan tugas dan tanggungjawab mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika menghadap Agong kelmarin, Perdana Menteri dalam membuat permohonan pelaksanaan Darurat Perkara 150(1) dan Pemasyhuran
Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu 2020) menurut Perkara 150(2B) Perlembagaan
Persekutuan untuk memerangi ancaman wabak Covid-19 di negara ini.

Beliau berkata, setelah memperhalusi permohonan dan berbincang dengan raja-raja Melayu dan melihat situasi yang sedang dihadapi oleh negara, baginda merasakan kerajaan sekarang telah berjaya menangani wabak ini dengan baik dan berkesan.

“Seri Paduka Baginda amat mempercayai keupayaan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri untuk terus melaksanakan dasar dan tindakan penguatkuasaan bagi membendung gejala wabak Covid-19 ini dari terus merebak,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, baginda turut prihatin terhadap kegelisahan seluruh rakyat
ekoran daripada kenaikan mendadak beberapa kluster baharu dan kes positif harian Covid-19 di negara ini.

Katanya, baginda menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perpaduan dan
juang yang tinggi seperti yang telah pernah dipamerkan bersama, rakyat di seluruh negara mampu sekali lagi berganding bahu memerangi gelombang ketiga penularan wabak ini.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here