Darurat: Pembela sokong, berdiri teguh dengan Majlis Raja-Raja Melayu

0
235
Aminuddin Yahaya

CYBERJAYA – Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) berdiri teguh dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan Majlis Raja-Raja Melayu untuk membuat keputusan terbaik demi negara dalam menghadapi kemelut yang berlaku sekarang.

Pengerusi Pembela, Aminuddin Yahaya berkata, pada masa sama pihaknya juga menyokong penuh kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong untuk berunding dengan Majlis Raja-Raja bagi memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri kelmarin.

“Pembela ingin menegaskan kuasa eksekutif sebenar bagi Malaysia adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agong menurut prerogatif dan kaedah-kaedah yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Pembela bersangka baik dengan permintaan jemaah menteri kepada baginda untuk mengisytiharkan darurat demi kesejahteraan rakyat dan mengelakkan mana-mana pihak berkepentingan menaguk di air keruh demi melindungi salah laku masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, Pembela menyeru umat Islam keseluruhannya untuk bersama-sama berdoa agar maslahah negara serta rakyat jelata dirungkai berlandaskan ajaran Islam.

Hari ini berlangsung mesyuarat khas Majlis Raja-Raja Melayu bagi membincangkan cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan sebagai langkah untuk mengawal penularan pandemik Covid-19.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bertitah, baginda berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk sembah taklimat cadangan yang sudah dicapai oleh Mesyuarat Khas Jemaah Menteri kelmarin.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here