Desas-desus rombakan Kabinet belum disahkan

0
121

PUTRAJAYA – Desas-desus mengenai rombakan Kabinet dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang bertiup sejak beberapa hari lalu masih menjadi tanda tanya.

Namun kehadiran barisan menteri dalam mesyuarat khas dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bangunan Perdana Putra pada pukul 8.45 pagi tadi seolah-olah memberi klu kepada khabar angin itu.

Pagi ini Bangunan Perdana Putra, kenderaan membawa Muhyiddin dilihat tiba pada pukul 8.57 pagi diikuti dengan ketibaan barisan menteri dan timbalan.

Bangunan Perdana Putra, Putrajaya

Antara yang dilihat hadir termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohammad Al Bakri.

Selain itu, beberapa menteri lain turut hadir termasuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan; Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd. Khairudin Aman Razali serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.


Sehingga kini, masih tiada maklumat mengenai pertemuan berkenaan kecuali ia dikatakan untuk membincangkan situasi terkini penularan wabak Covid-19 di dalam negara.

Jika benar seperti khabar angin yang dilaporkan media arus perdana sejak beberapa hari lalu, rombakan itu akan menjadi yang pertama sejak kerajaan PN dibentuk pada 1 Mac lalu.

Dakwaan rombakan Kabinet itu dikatakan sebagai memenuhi desakan UMNO yang dilihat tidak berpuas hati dalam pelbagai isu politik diketuai Muhyiddin terutama pengagihan jawatan penting.

UMNO sebelum ini juga dilaporkan sedia menarik sokongan terhadap kerajaan PN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here