Harga siling pelitup muka 70 sen bermula Ahad ini

0
62
Gambar hiasan

CYBERJAYA – Kerajaan menetapkan harga siling bagi pelitup muka jenis tiga lapisan daripada RM1 kepada 70 sen sekeping berkuasa kuasa 1 November (Ahad ini).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam kenyataan hari ini berkata, penurunan harga itu diputuskan selepas mengambil kira pelitup muka sebagai barang keperluan untuk meneruskan norma baharu.

Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat kajian semula harga pelitup muka melibatkan pengeluar tempatan dan pengimport.

“Harga maksimum pelitup muka jenis tiga lapis di peringkat borong akan diturunkan daripada 95 sen kepada 65 sen sekeping.

“Harga baru ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Nanta berkata, harga siling runcit bagi pelitup muka satu lapisan pula ditetapkan tujuh sen sekeping, pelitup muka dua lapisan 20 sen sekeping manakala pelitup muka N95 pada RM6 sekeping.

Sehubungan itu, peniaga yang gagal mematuhi perintah mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dikenakan penalti seperti bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.

Pesalah individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala pesalah syarikat pula boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga bagi barangan harga terkawal pula, pesalah individu boleh didenda sehingga RM50,000 atau dikompaun sehingga RM25,000, manakala pesalah syarikat boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here